Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis bantu cepatkan pergerakan dan semua pegawai serta anggota terbabit adalah berbangsa India.

Itu penjelasan diberikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berhubung penularan video di media sosial mengenai bantuan penugasan polis ketika kawalan pergerakan membawa pedati sempena sambutan Thaipusam 2021.

Menurutnya, hasil semakan dilakukan pihaknya mendapati video itu dirakam ketika polis membantu mempercepatkan pergerakan arca selepas diminta pihak penganjur.

Tangkap layar video yang tular di media sosial.
Tangkap layar video yang tular di media sosial.

"Ini kerana hanya 10 orang saja yang dibenarkan terbabit dalam pergerakan itu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Video itu dirakam jam 3 pagi di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H. S Lee semalam. Semua pegawai dan anggota terbabit adalah berbangsa India.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 1:21 PM