FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Singapura: Sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sudah menjadi antara penerima suntikan vaksin Pfizer BioN Tech di negara terbabit.

Mereka yang sudah menerima suntikan vaksin itu, kebanyakkan bekerja dalam sektor yang diberikan keutamaan untuk menerima vaksin di republik berkenaan.

Sebahagian daripada mereka sudahpun berkongsikan pengalaman mereka menerima suntikan di laman Facebook Malaysian-Singapore Border Crossers, yang kini mempunyai hampir 82,000 ahli.

Imra Astata Ibrahim yang bekerja dalam sektor marin berkata, beliau menerima suntikan vaksinnya yang pertama pada 13 Jan dan akan menerima suntikan kedua selepas 21 hari.

Beliau yang berusia 40 tahun menyewa di Jurong West di sini, berkata, dia tidak teragak-agak menerima suntikan vaksin terbabit bersama 10 lagi rakan dari Malaysia.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata itu berpandangan yang dengan mengambil suntikan terbabit, keadaan akan menjadi lebih mudah untuknya berulang-alik ke Johor seperti sebelum ini.

"Siapa tahu, mungkin akan ada satu persefahaman antara kedua negara, bagi memudahkan pergerakan untuk pekerja yang sudah menerima vaksin ini," katanya.

Imra Astata sudah kembali ke republik itu untuk bekerja pada 24 Sept 2020, selepas langkah memperketatkan pergerakan antara kedua-dua sempadan negara itu diperkenalkan pada Mac tahun lalu, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketika ditanya jika terdapat sebarang kesan sampingan selepas penerimaan vaksin itu, Imra Astata berkata, sebelum menerima suntikan itu, beliau dan rakan-rakannya sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan adanya kesan sampingan.

"Setakat ini, saya dan rakan-rakan masih sihat selepas mengambil suntikan. Hanya pada hari menerima suntikan, saya rasa sedikit kebas dan sakit di tempat suntikan," kata Imra Astata yang berasal dari Johor.

Kerajaan Singapura memperuntukkan semua rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang di negara itu, untuk menerima vaksin sebelum akhir 2021, jika tiada gangguan yang tidak terjangka dalam penghantaran vaksin terbabit.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada 21 Disember tahun lalu.

Bagi memastikan ketersediaan vaksin dan membolehkan Singapura mencapai kadar yang lebih tinggi pemberian vaksin kepada penduduk republik itu, vaksin akan diberikan secara percuma.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura sehingga 12 Jan 2021, lebih daripada 6,200 individu menerima dos pertama vaksin mereka di negara itu.

Menurut MOH, jumlah itu dijangka akan meningkat dengan banyak dalam minggu yang akan datang, apabila mereka mempertingkatkan lagi operasi pemberian vaksin mereka.

Sejajar dengan saranan daripada Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 untuk mengutamakan vaksinasi kepada kumpulan yang paling berisiko, Singapura sudah memulakan aktiviti vaksinasi kepada petugas bidang kesihatan secara progresif bermula 30 Dis 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 7:00 AM