Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini, mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di semua bahagian di negeri itu.

Hanya Sibu terkecuali dari PKPB itu kerana daerah berkenaan masih dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 29 Januari.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PKPB itu berkuat kuasa selama 14 hari mulai 12.01 tengah malam 18 Januari ini hingga 11.59 malam, 31 Januari.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, prosedur operasi standard (SOP) berhubung PKPB itu akan diumumkan esok.

"Langkah ini (pengisytiharan PKPB) dibuat selepas kita melihat dan menilai situasi kes positif di Sarawak yang semakin meningkat," katanya ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini.

Mengenai SOP bagi rumah ibadat selain Islam, Uggah berkata, ia akan dikeluarkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), manakala SOP bagi perhimpunan di rumah panjang dan kampung-kampung akan dikeluarkan Majlis Adat Istiadat Sarawak.

Mengenai pengoperasian institusi pendidikan di kawasan PKP dan PKPB di Sarawak, Uggah berkata, sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Ia membabitkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), SijilTinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) bagi 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

"Pelajar sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan itu dibenarkan kembali ke asrama mulai hari ini selaras dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.

"Selain itu, semua murid sekolah rendah (prasekolah, tahun satu hingga tahun enam) dan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat di kawasan PKP dan PKPB Sarawak akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini," katanya.

Menurutnya, ketetapan itu juga terpakai kepada pelajar semester dua di SVM dan semester dua DVM bagi 2020 di Kolej Vokasional di Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 6:41 PM