CURRAN harap Musa lunas tunggakan gaji. FOTO Facebook Melaka United Soccer Association - MUSA
CURRAN harap Musa lunas tunggakan gaji. FOTO Facebook Melaka United Soccer Association - MUSA
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan hanya setakat gagal menjelaskan tunggakan gaji malah sewa rumah yang sepatutnya dibayar oleh Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) turut tertunggak lebih dua bulan.

Situasi berkenaan dikongsi bekas pemain Melaka, Curran Ferns yang mendedahkan bahawa pengalaman bersama pasukan terbabit adalah mimpi buruk baginya sepanjang terbabit dalam bola sepak profesional.

Curran yang ketika ini berada di Australia berkata, dia sudah 'patah hati' dengan Melaka apabila permintaanya supaya menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji tidak dilayan.

Katanya, masalah tunggakan gaji sudah membelenggu pemain sebelum pandemik Covid-19 melanda namun Melaka dikatakan menggunakan alasan berkenaan untuk tidak membayarnya.

"Melaka tidak membayar saya seperti termaktub dalam perjanjian malah situasi lebih buruk lagi apabila Covid-19 melanda apabila sehingga kini mereka masih lagi berhutang.

"Perkara terbabit saya sudah bawa kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk tindakan susulan.

"Pada masa sama, turut mengambil tindakan undang-undang kepada Melaka supaya menjelaskan segala hutang mereka kepada saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Melaka United berhadapan dengan tunggakan gaji membabitkan pemain mereka. Walaupun sebelum ini dikhabarkan Melaka United sudah menyelesaikan tunggakan gaji pemain mereka namun sebenarnya hanyalah membabitkan pemain tempatan sahaja bukanlah awang import mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Musa, Ahmad Roslee Hamzah ketika dihubungi mengesahkan sememangnya pasukan terbabit mempunyai tunggakan gaji membabitkan Curran dan Morales.

Namun, Musa bertindak cemerlang dengan sudah membuat pembayaran tunggakan gaji Morales secara persetujuan bersama dengan pemain itu.

"Kes membabitkan Curran pula masih lagi dalam perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik membabitkan kedua-dua pihak. Berkaitan tunggakan sewa rumah pula, perkara terbabit di luar pengetahuan saya dan akan menyiasat segera masalah terbabit.

"Kita tidak pernah lepas tangan membabitkan isu tunggakan gaji malah tetap komited menyelesaikannya secepat mungkin,"katanya.

Selain itu, Roslee berkata, pihaknya menunggu keputusan daripada FAM sebelum membayar tunggakan gaji seperti yang didakwa Curran.

"Kami bukan tidak mahu membayar sekarang tunggakan gaji namun perkara terbabit sudah dibawa ke FAM dan kini menunggu keputusan terbabit untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita berkaitan

Curran Ferns hilang sabar isu tunggakan gaji

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:30 AM