GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuantan: Seorang nelayan berputih mata apabila kerugian RM13,000 selepas mendakwa ditipu individu tidak dikenali yang menyamar sebagai anak perempuanya menerusi panggilan telefon pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nelayan berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mempunyai suara seakan-akan anak sulungnya pada 11 pagi ketika masih berada di laut.

Beliau berkata, suspek turut memberitahu mangsa bahawa dia menukar nombor telefon dan meminta nelayan itu memasukkan wang sebanyak RM5,000 untuk membeli barang perniagaan.

"Mangsa meminta tolong rakannya membuat transaksi berkenaan sebelum sekali lagi dihubungi suspek dan meminta wang sebanyak RM8,000 lagi kerana wang permulaan yang diterima tidak mencukupi.

"Nelayan itu kemudiannya meminta tolong majikannya melakukan transaksi berkenaan. Namun, sejurus pulang ke darat mangsa menghubungi anaknya untuk bertanyakan mengenai permintaan wang berkenaan, bagaimanapun anaknya menafikan meminta wang daripada mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 12:06 PM