Ekhwan Haque Fazlul Haque


Selayang: Dua beranak yang juga ahli lembaga pengarah sebuah syarikat pembaikan jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini , atas dua kesalahan mencemar Sungai Gong, Rawang.

Chai Kin Sang, 62, dan Chai Wern Teik, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagi pertuduhan pertama, Kin Sang dan Wern Teik didakwa dengan niat bersama melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari premis FG Autoparts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui ia mungkin menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melepaskan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada premis FG Autoparts Sdn Bhd ke alur sungai ke dalam Sungai Gong tanpa lesen.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan bagi kesalahan itu tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau keduanya sekali.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara 17 hingga 19 Oktober lalu di Lot 16273, Jalan Sungai Bakau-Batu Arang, Gombak.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili Muhammad Nor Izzat Nordin.

Muhamad Iskandar tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius yang menyebabkan enam juta pengguna Lembah Klang terjejas kerana terputus bekalan air.

"Kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan adakah kita mahu menjalani kehidupan norma baharu dengan ketiadaan air selain Covid-19.

"Saya juga mencadangkan jaminan sebanyak RM2 juta setiap tertuduh dengan syarat tambahan jika mahkamah membenarkan jaminan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Noor Izzat memohon mahkamah memberikan jaminan kepada tertuduh pertama atas alasan dia sudah berusia dan perlu menjalani pembedahan mata.

"Kedua tertuduh juga adalah penanggung tunggal keluarga selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

"Saya memohon mahkamah memberikan jaminan kepada anak guam saya berdasarkan hujahan bertulis yang dikemukakan selain mereka memberi kerjasama sepanjang 13 hari reman," katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM400,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin berlainan selain syarat tambahan antaranya wajib lapor diri di balai polis setiap satu hari bulan, pasport diserahkan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan tidak boleh melakukan sebarang kesalahan jenayah lain.

Mahkamah juga menetapkan 16 Disember ini untuk serahan dokumen dibuat pihak pendakwaan dan pembelaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 tengah malam 19 Oktober lalu.

Berikutan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Kemudian beberapa LRA lain terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Hasil siasatan mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula daripada syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan.

Justeru, lapan individu termasuk dua pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan berhubung pencemaran itu.

CHAI Kin Sang (kiri) dan Chai Wern Teik didakwa di Mahkamah Selayang hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
CHAI Kin Sang (kiri) dan Chai Wern Teik didakwa di Mahkamah Selayang hari ini. FOTO ASWADI ALIAS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 11:41 AM