DATUK Seri Salleh Said Keruak memenangi kerusi Dun Usukan. FOTO Malai Rosmah Tuah
DATUK Seri Salleh Said Keruak memenangi kerusi Dun Usukan. FOTO Malai Rosmah Tuah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak antara nama disebut bakal memimpin negeri itu selepas menang dengan majoriti 4,298, malam tadi.

Salleh yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Usukan menewaskan pencabarnya, Cikgu Abdul Bahkrin Mohd Yusof daripada Warisan, calon alternatif yang disebut-sebut untuk menyandang jawatan Ketua Menteri Sabah baharu.

Salleh sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah kesembilan dari 27 Disember 1994 hingga 28 Mei 1996.

Selain Salleh, dua lagi calon sedia ada ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah merangkap Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, rekod pencapaian serta pengalaman luas menyandang beberapa jawatan di peringkat negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini memberi kelebihan kepada Salleh dipertimbangkan memegang jawatan ketua menteri.

"Kalau kita lihat apa yang dikatakan kerajaan negeri semalam, sepatutnya kerusi menang banyak harus ditawarkan jawatan ketua menteri.

"Kerusi dimenangi BN lebih daripada Bersatu Sabah tetapi jika kedua-dua calon daripada parti itu tidak dipersetujui, maka seorang lagi calon layak boleh dipertimbangkan.

"Dalam hal ini, Salleh mungkin calon paling sesuai boleh dipertimbangkan berdasarkan pengalaman beliau sebagai bekas Ketua Menteri Sabah, Speaker Dun Sabah dan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika mengambil kira kepada konteks kebiasaan dalam pemilihan ketua menteri, Hajiji dan Bung Moktar sepatutnya menjadi pilihan.

"Disebabkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) malam tadi, pilihan sepatutnya antara Hajiji dan Bung Mokhtar.

"Secara dasarnya, sudah menjadi satu kebiasaan pengerusi mana-mana blok parti dijadikan calon ketua menteri.

"Apatah lagi, PN bertanding bukan dalam satu logo sendiri tetapi menggunakan logo parti diketuai Hajiji manakala BN pula yang tidak menyertai PN turut menggunakan logo sendiri," katanya.

Sementara itu, Profesor di Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia Prof Dr Zaid Ahmad berkata, pemilihan Bung Moktar mungkin turut terjejas kerana dipalit kontroversi kes rasuah di mahkamah.

"Kalau ikutkan sepatutnya kepada Bung Moktar kerana kerusi parti menang lebih besar, tetapi mungkin ada pertikaian kerana melihat banyak faktor termasuk kes mahkamah yang sedang berjalan.

"Jadi, jika ada pihak tidak setuju dengan Hajiji, maka tidak mustahil ada kemunculan calon ketiga iaitu Salleh yang mungkin akan lebih diterima ramai pihak kerana pengalaman sebagai orang lama dan jawatan pernah disandang sebelum ini," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 1:54 PM