Rozita Ali yang dipenjara lapan tahun selepas mengaku salah mendera pembantu rumah hadir di mahkamah untuk mendengar rayuan bagi mengurangkan hukuman terhadap berliau di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rozita Ali yang dipenjara lapan tahun selepas mengaku salah mendera pembantu rumah hadir di mahkamah untuk mendengar rayuan bagi mengurangkan hukuman terhadap berliau di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Suri rumah yang mencetuskan kontroversi dalam kes dera pembantu warga Indonesia empat tahun lalu sehingga menyebabkan mangsa cedera parah, mula menjalani hukuman penjara selama lapan tahun hari ini.

Ia berikutan Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhir tertuduh, Rozita Mohamad Ali, 46, terhadap semakan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi pada 29 Mac 2018 selepas membuat semakan.

Rozita kelihatan tenang selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak rayuan berkenaan.

Selepas prosiding, Rozita menyatakan sesuatu dan mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya yang diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebelum diiringi anggota polis ke bilik lokap untuk dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.

Dalam penghakimannya, Kamaludin berkata, selepas menghalusi hujahan kedua belah pihak, mahkamah berpuas hati rayuan perayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjalankan kuasa semakan mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah, tidak mempunyai merit.

Kamaludin berkata, mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya (yang mengenakan bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000) dengan alasan sama ada hukuman berkenaan adalah wajar atau sebaliknya.

"Hukuman dikenakan Mahkamah Tinggi adalah mengikut trend, malah terdapat hukuman lebih tinggi yang pernah dikenakan dalam kes lain.

"Oleh itu, dengan mengambil kira hukuman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan adalah penjara selama 20 tahun, rayuan perayu dengan ini ditolak dan keputusan akhir Mahkamah Tinggi dikekalkan.

"Rayuan pendakwaan untuk menambah lagi hukuman ke atas perayu juga ditolak," katanya.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron.

Kes dera itu menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya oleh pengawal keselamatan tular di media sosial.

Pada awalnya, Rozita didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tuduhan cuba membunuh Suyanti Sutrinso, 19, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun jika cedera dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dekat Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara antara 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Jun 2016.

Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju.

Bagaimanapun, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 9 Mei 2017, tertuduh kemudiannya menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dikenakan bon berkelakuan baik pada 15 Mac 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 4:19 PM