ELLY sekat individu yang suka lontar pelbagai komen keterlaluan.
ELLY sekat individu yang suka lontar pelbagai komen keterlaluan.
Syafil Syazwan Jefri


BULI siber bukan satu perkara baharu dan semakin hari, semakin menjadi barah terutama di pelbagai platform media sosial.

Bagi selebriti, apabila menjadi sorotan dari pelbagai sudut, tentunya tidak dapat mengelak daripada menjadi kecaman pembuli siber.

Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein juga tidak terlepas daripada berdepan situasi di mana sentiasa menjadi ancaman pembuli siber yang sentiasa melontarkan pelbagai kata-kata tanpa berfikir panjang.

"Tak dinafikan dalam kehidupan ada orang yang suka dan ada yang takkan suka kita. Sejujurnya, setiap kali melihat insiden buli siber membabitkan selebriti, saya sendiri pun rasa terpukul," katanya.

Menurut Elly, dia sendiri lebih memilih untuk tidak membaca komen negatif yang keterlaluan.

"Kalau bercakap mengenai komen negatif, komen buruk dan komen yang keterlaluan, dari dulu sudah ada, cuma bezanya sekarang ada media sosial dan lagi mudah untuk individu terbabit menulis pelbagai kecaman.

"Tapi, sekarang saya lebih selesa untuk sekat (block) saja akaun individu yang suka menulis perkara yang keterlaluan," katanya.

Elly yang menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Netizen dalam program Big Stage 2020 juga berkongsi pengalamannya membaca pendapat netizen di media sosial sepanjang program realiti itu berlangsung.

"Apabila berada dalam pertandingan, sokongan dan kata-kata semangat adalah perkara paling utama. Jadi, bila ada komen yang terlalu negatif, sedikit sebanyak ia boleh menjatuhkan semangat peserta.

"Saya sendiri pernah berada dalam pertandingan iaitu Gegar Vaganza dan memang akan ada orang yang menulis komen negatif," katanya.

Ditanya sama ada dia pernah membalas komen itu, Elly berkata, itu hanya tindakan sia-sia.

"Saya pernah membalas komen negatif itu, tapi bila difikirkan semula, itu tindakan sia-sia sebab tak ada faedah pun.

UBAT kerinduan peminat dengan kehadiran single terbaharu tidak lama lagi.
UBAT kerinduan peminat dengan kehadiran single terbaharu tidak lama lagi.

"Buat apa nak panjang-panjangkan perkara yang tak berfaedah. Jadi, lebih baik saya sekat saja individu begini kerana tak mahu ada aura negatif.

"Lagi satu, kalau kita balas, kita pun sama macam orang yang menulis komen itu. Jadi, sekat saja," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu dan kehidupannya, Elly mengakui bahagia bersama keluarga kecilnya di samping karier lakonan yang semakin menyinar.

"Alhamdulillah, kehidupan saya berjalan lancar dan saya bahagia menggalas tanggungjawab sebagai wanita berkerjaya dan berumah tangga," katanya.

Diminta mengesahkan mengenai khabar angin yang mengatakan dia kini hamil, Elly berkata, dia akan kongsikan sekiranya benar-benar bakal dikurniakan cahaya mata.

"Saya suka ikut cakap orang-orang tua iaitu jangan kongsikan apa-apa sekiranya belum ada. Jadi, kalau dah ada rezeki cahaya mata, saya akan kongsikan," katanya.

Tambahnya, dia juga tidak terlalu mengharap.

"Kadang-kadang, kalau terlalu mengharap, rezeki itu tak datang. Jadi, saya dan suami hanya ikut aturan yang ditetapkan Allah buat kami.

"Kami jalani kehidupan seperti biasa tanpa tekanan dan pada masa sama masih juga berusaha," katanya.

Semalam, drama bersiri lakonannya, Kampung People musim kedua mula ditayangkan, sekali gus membuktikan penerimaan menggalakkan siri komedi itu.

"Alhamdulillah, itu juga antara rezeki selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana banyak rezeki yang datang buat saya.

"Selain Kampung People 2, saya juga kini mula menjalani penggambaran untuk program masakan berjudul Senduk Kuali Bersama Kak Lina Pom Pom yang ditayangkan sepanjang Ramadan tahun depan," katanya.

Ditanya mengenai karier nyanyian, Elly akan mengubat kerinduan peminatnya dengan kehadiran single terbaharunya tidak lama lagi.

"Saya masih aktif dalam nyanyian dan Insya-Allah, akan ada single baharu selepas ini hasil ciptaan Aina Abdul. Jadi, sama-sama kita nantikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:00 AM