GUAN Eng (dua kanan) ditemani isterinya, Betty Chew (dua dari kiri) di Mahkamah Butterworth. FOTO Danial Saad
GUAN Eng (dua kanan) ditemani isterinya, Betty Chew (dua dari kiri) di Mahkamah Butterworth. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melupuskan tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2015 dan 2017 di MahkamahSesyen Butterworth, di sini, hari ini.

Guan Eng, 60, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid, pagi tadi.

Mengikut pertuduhan pertama Guan Eng dituduh melupuskan harta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu di Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timur Laut, Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM135,086,094 kepada syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Setiausaha Agung DAP itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar di George Town dekat sini pada 17 Februari 2015.

Pertuduhan kedua pula beliau dituduh melupuskan harta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu di Lot Tanah No. H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timur Laut, Negeri Pulau Pinang bernilai RM73,668,986 kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd di lokasi sama pada 22 Mac 2017.

Nilai anggaran kedua-dua tanah yang dilupuskan itu adalah sebanyak RM208,755,080.

Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan [Akta 574] bagi kedua-dua pertuduhan.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara di antara enam bulan sehingga lima tahun, dengan sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin, R Francine Cheryl dan S Selvaranjini, manakala Guan Eng diwakili barisan peguam yang diketuai Gobind Singh Deo.

Mahkamah membenarkan Ahli Parlimen Bagan itu diikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan beserta dua penjamin.

Kes itu akan disebut semula pada 12 Oktober depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 10 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan sebanyak RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Sehari kemudian, beliau sekali lagi mengaku tidak bersalah di mahkamah itu selepas dituduh menggunakan kedudukannya dan sebagai Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk mendapat suapan kepada isterinya, Betty Chew Gek Cheng sebanyak RM372,009 daripada sebuah syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 12:22 PM