MUHAMAD Firdaus bekerja sebagai mekanik sejak 2018 sebelum ditamatkan perkhidmatan. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Rahmat
MUHAMAD Firdaus bekerja sebagai mekanik sejak 2018 sebelum ditamatkan perkhidmatan. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Rahmat
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sejak dua tahun lalu, tugas membaiki dan menyelenggara pesawat sudah menjadi rutin harian buat Muhamad Firdaus Rahmat yang juga lulusan Diploma Kejuruteraan Kapal Terbang Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL MIAT).

Namun, rezeki tidak menyebelahi pemuda berusia 23 tahun itu apabila ditamatkan perkhidmatan sebagai mekanik pesawat di sebuah syarikat kejuruteraan pesawat di Sepang pada 30 Julai lalu.

Biarpun sedih, Muhamad Firdaus, 23, yang menetap di Presint 9, Putrajaya akur dengan keputusan majikannya dan kini beralih bidang dengan menjadi jurujual kereta di sebuah syarikat automatif di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

"Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat sudah mengambil langkah mengurangkan kakitangan tetapi saya tidak terbabit dalam pembuangan itu.

"Namun, saya akhirnya menerima nasib sama apabila ditamatkan perkhidmatan akhir Julai lalu.

"Ikutkan saya sudah bersiap sedia awal dengan memohon beberapa pekerjaan lain dan hampir menjadi penghantar makanan tetapi akhirnya menerima tawaran kerja menjadi jurujual kereta selepas dua minggu diberhentikan kerja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMAD Firdaus kini menjadi jurujual kereta selepas diberhentikan kerja sebagai mekanik pesawat pada akhir Julai lalu. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Rahmat
MUHAMAD Firdaus kini menjadi jurujual kereta selepas diberhentikan kerja sebagai mekanik pesawat pada akhir Julai lalu. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Rahmat

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, meskipun tiada pengalaman sebagai jurujual, dia nekad mencuba dengan mengambil peluang kerja yang ada.

"Banyak syarikat yang saya mohon tetapi tiada kekosongan dalam bidang pekerjaan dimahukan kerana kebanyakannya turut terjejas akibat Covid-19.

"Jadi saya terima saja tawaran kerja sebagai jurujual kereta, walaupun was-was dengan kebolehan diri pada awalnya kerana tiada pengalaman.

"Mana tidaknya, pekerjaan itu memerlukan saya berubah 360 darjah daripada rutin sebelum ini jadi rasa janggal tentunya ada, " katanya.

Muhamad Firdaus berkata, dia bersyukur kerana ibu dan ayahnya banyak memberi semangat untuk meyakinkannya melakukan pekerjaan dalam bidang yang baru.

"Sebelum ini ,saya tahu mengenai kereta cuma sekadar yang asas saja, bukan terlalu terperinci.

"Kini, saya kena ambil tahu mengenai semua yang berkaitan kereta kerana perlu menjual dan meyakinkan pelanggan berpotensi untuk membeli.

"Memang tidak mudah lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik kerana kebanyakan orang lebih cenderung menyimpan daripada melabur wang mereka.

"Namun, saya cuba menyesuaikan diri dan gunakan segala kemahiran serta menyahut cabaran ini sebagai satu pengalaman baru," katanya.

Kelmarin, Muhamad Firdaus berkongsi kisahnya yang dulu bekerja sebagai mekanik pesawat tetapi menjadi jurujual kereta selepas diberhentikan kerja menerusi ciapan di Twitter.

Kisah itu mendapat perhatian warganet dengan rata-ratanya mendoakan Muhamad Firdaus upaya cekal menghadapi cabaran melakukan pekerjaan baru.

GAMBAR kenangan Muhamad Firdaus bersama rakan sekerja. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Rahmat
GAMBAR kenangan Muhamad Firdaus bersama rakan sekerja. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Rahmat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:55 PM