HIDAYATUL Filzah. FOTO Aziah Azmee
HIDAYATUL Filzah. FOTO Aziah Azmee
Yusmizal Dolah Aling


DI sebalik kelembutan, siapa menyangka wanita juga mampu melakukan tugas mencabar dan lasak dengan menjadi pegawai pengiring serta pemandu peribadi.

Perkara itu dibuktikan, Hidayatul Filzah Kamarudin, 29, yang menceburi kerjaya pengawal peribadi dan pemandu orang kenamaan sejak lebih setahun lalu.

Memiliki lesen senjata api serta lesen menyelam turut menjadi kriteria utama melayakkannya menceburi bidang itu.

Katanya, minat menjadi anggota beruniform sejak kecil mendorong dia menceburi bidang itu yang kebanyakannya dipelopori golongan lelaki.

"Saya bukan saja menjadi pengiring biasa tetapi pengiring bersenjata api. Tugas saya adalah untuk menjaga keselamatan majikan... itu yang paling penting.

"Walaupun saya seorang wanita, tetapi saya buktikan bidang ini boleh menjadi kerjaya yang menarik jika mempunyai minat dan kesungguhan," katanya ketika ditemui selepas Seminar Pemandu dan Pengawal Peribadi anjuran Komuniti Pengawal Peribadi dan Pemandu (BGDC) dan sebuah syarikat perunding semalam.

Dia yang lebih dikenali sebagai Sofea berkata, antara cabaran paling berat ditempuhi adalah menghadiri kursus senjata api kerana ia memerlukan fokus serta kesungguhan.

"Sejak berkecimpung dalam kerjaya ini, saya sudah menghadiri lebih 10 kursus dan latihan untuk menambahkan kemahiran sedia ada," katanya.

Sementara itu, Presiden BGDC Jasrizal Mustafa berkata, seminar itu dianjurkan bertujuan memberikan maklumat kepada peserta berhubung kepatuhan kepada undang-undang dalam menjalankan tugas.

Katanya, program pertama kali itu membabitkan komuniti pemandu dan pengawal peribadi khususnya di Lembah Klang.

"Ia akan memberikan nilai tambah kepada mereka supaya lebih yakin ketika bekerja, tahu apa yang mereka lakukan dan yang lebih penting adalah pengetahuan mengenai peraturan serta etika," katanya.

Menurutnya, penularan wabak Covid-19 turut memberi kesan kepada pemandu dan pengawal peribadi termasuk yang dipotong gaji dan diberhentikan.

"Ada dalam kalangan ahli BGDC terpaksa melakukan pekerjaan lain seperti menjadi pemandu e-hailing bagi menampung keperluan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 9:23 PM