BUAYA sepanjang 4.5 meter yang dipercayai membaham seorang remaja di Tanjung Manis dibelah perut hari ini. (Gambar kanan) Tulang manusia serta baju ditemui di dalam perut buaya. FOTO ihsan bomba
BUAYA sepanjang 4.5 meter yang dipercayai membaham seorang remaja di Tanjung Manis dibelah perut hari ini. (Gambar kanan) Tulang manusia serta baju ditemui di dalam perut buaya. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


BEBERAPA anggota tubuh manusia antaranya tulang rusuk, tulang betis, tapak tangan dan serpihan dipercayai tengkorak serta sehelai baju ditemui di dalam perut buaya yang ditangkap di Batang Ulu Belawai, Tanjung Manis, Mukah, hari ini.

Ia dipercayai milik remaja, Ricky Ganya, 14, dari Rumah Panjang Dadat, Tanjung Manis, yang dilaporkan dibaham buaya ketika dia mencari siput bersama ibu saudaranya di sungai pada 26 Julai lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tiong Ling Hii berkata, buaya sepanjang 4.5 meter itu berjaya ditangkap pada jam 9.15 pagi tadi, selepas reptilia itu tersangkut pada pancing berumpan ayam yang dipasang oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT), Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Beliau berkata, buaya berkenaan kemudian dibawa ke darat dan perutnya dibelah di depan pegawai polis, keluarga mangsa serta penduduk kampung.

"Baju serta beberapa bahagian anggota badan manusia ditemui di dalam perut pemangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, operasi pencarian diteruskan hari ini atas permintaan keluarga mangsa.

Mangsa dikatakan keluar mencari siput di sungai berhampiran dan ditemani ibu saudara dan dua lagi rakannya pada 26 Julai lalu.

Menurut saksi iaitu ibu saudaranya, dia melihat sendiri mangsa ditarik buaya ke dalam sungai.

Kejadian itu dilaporkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis pada jam 11.28 hari kejadian dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Operasi itu turut disertai polis, SFC, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk rumah panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 2:55 PM