Mahaizura Abd Malik

"IA detik penuh bermakna dan sukar saya gambarkan apabila melihat reaksi suami saat memiliki motosikal besar yang diidamkan hampir 20 tahun.

"Pemberian ini mungkin tidak seberapa tetapi sebagai tanda penghargaan saya kepada suami yang banyak berkorban dan ringan tulang menguruskan rumah tangga kami terutama ketika saya sibuk bekerja," kata Noorrizah Zaini, 43.

Noorrizah membuat kejutan menghadiahkan suaminya, Khairul Azhari Ab Hamid, 45, motosikal Yamaha R25, minggu lalu dengan bantuan kakitangan kedai motosikal di Setia Alam, Selangor.

Detik kejutan istimewa itu dikongsikan eksekutif jualan premis berkenaan, Muhammad Izzuddin Mat Nasri, 18, yang memuat naik video di Twitter.

Berdasarkan video berdurasi satu minit 21 saat itu, Khairul Azhari dilihat tergamam dan memeluk Noorrizah selepas Muhammad Izzuddin menyerahkan geran motosikal berwarna biru itu kepadanya.

Ibu kepada tiga anak berusia antara 12 hingga 19 tahun itu berkata, Khamis minggu lalu dia membawa suaminya berhampiran lokasi premis jualan kenderaan berkenaan selepas tiga hari membuat perancangan itu.

"Saya mengajaknya menemani saya atas alasan urusan kerja di kawasan itu. Sebaik parkir kereta, suami terus ke premis itu kerana mahu melihat topi keledar.

"Seperti biasa, dia akan melihat motosikal besar di bilik pameran kedai itu sebelum saya memintanya duduk dan kakitangan premis itu menyerahkan geran motosikal itu kepadanya.

"Saya bersyukur kejutan ini berjalan lancar hingga dia menitiskan air mata kegembiraan kerana tergamam dan tidak sangka akhirnya memiliki apa yang diidamkan selama ini," katanya kepada Harian Metro.

NOORRIZAH bersama Khairul Azhari selepas membuat kejutan
NOORRIZAH bersama Khairul Azhari selepas membuat kejutan

Katanya, suaminya sudah lama mengimpikan memiliki motosikal berkenaan, namun terpaksa pendamkan hasrat itu demi mengutamakan keperluan penting keluarga mereka.

"Memang sebelum berkahwin lagi, saya sudah tahu minat suami dengan motosikal besar, tetapi sebaik berkahwin dia pendamkan hasrat itu demi memenuhi keperluan anak dan keluarga kami.

"Namun, selama hidup dengannya dia kerap bercerita tentang minatnya itu termasuk tabiat membuat perbandingan harga dan meninjau motosikal Yamaha dari satu kedai ke satu kedai lain.

"Saya tidak pernah memberikan perhatian (minatnya) sehinggalah kali ini... mungkin sudah tiba masanya saya merealisasikan hasratnya itu sebagai membalas pengorbanannya selama ini," katanya.

Sehingga kini, video rakaman detik kejutan itu ditonton lebih 46,600 kali dan 2,100 ulang ciap serta meraih pelbagai reaksi warganet yang memuji keutuhan kasih pasangan berkenaan.

KHAIRUL Azhari mencuba motosikal yang dihadiahkan isterinya. FOTO Ihsan Muhammad Izzuddin dan Noorrizah
KHAIRUL Azhari mencuba motosikal yang dihadiahkan isterinya. FOTO Ihsan Muhammad Izzuddin dan Noorrizah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 9:00 PM