Audrey Dermawan


PESARA kerajaan dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri dan amang seksual fizikal ke atas anak kandungnya.

Bagi pertuduhan sumbang mahram, tertuduh yang berusia 65 tahun mengaku salah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof atas tuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang berumur 17 tahun.

Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku 11 pagi pada 10 Jun lalu di rumah mereka di Tasek Gelugor.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung berusia 11 tahun, tertuduh memohon dibicarakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan terbabit pada 4.30 petang, 18 Mac lalu juga di rumah mereka di Tasek Gelugor.

Justeru dia dakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Timbalan Pendakwa Raya Roslina Idris dan JG Kaameni memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana dia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kedua-dua mangsa.

Roslina berkata, ia bagi mengelak kejadian sama berulang selain kesalahan dilakukan tertuduh sangat serius.

Hakim kedua-dua mahkamah sesyen tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh ditahan polis pada 3 Julai lalu susulan laporan dibuat isterinya yang juga ibu kepada kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dilaporkan berkata, kejadian terbongkar selepas isterinya yang berusia 47 tahun mengesan perubahan sikap anak perempuan berstatus orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun yang menyendiri dan bercakap seorang diri selain banyak berkurung di dalam bilik.

Menurutnya, kanak-kanak itu dibawa berjumpa dengan guru disiplin dan guru pendidikan khas di sekolah sebelum mangsa menceritakan kejadian menimpa.

Sebaik pulang ke rumah, ibu mangsa bertanyakan perkara sama kepada anak perempuannya berusia 17 tahun dan remaja berkenaan mengaku menjadi mangsa sumbang mahram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 1:07 PM
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan merogol anak tirinya dan mencabul anak kandung. FOTO Danial Saad
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan merogol anak tirinya dan mencabul anak kandung. FOTO Danial Saad