Rosyahaida Abdullah


GELAGAT dua kanak-kanak perempuan yang juga pasangan kembar meniru penampilan berpantang ibu mereka selepas melahirkan anak ketiga pada 22 Mei lalu menarik perhatian rata-rata warganet.

Menerusi perkongsian di media sosial, Maryam Raudhah Muhammad Qayyum dan Maryam Wardhah Muhammad Qayyum, 3, bukan setakat berkain batik dan berstokin malah turut memangku anak patung bayi sebagai meniru gaya ibu mereka.

Ibu pasangan kembar terbabit, Noorsuriyana Samsudin, 25, berkata, gambar yang diambil dan dikongsi dua hari lalu itu dirancang pada saat akhir sebaik sepupunya datang ke rumah untuk melawat bayi baru dilahirkan.

"Pada hari itu (Jumaat), saya sejujurnya tidak bercadang untuk bergambar pun namun apabila sepupu beritahu dia ingin datang melihat bayi lelaki saya, terpaksalah bersiap elok sedikit untuk terima tetamu.

"Disebabkan itu, ketika ingin bergambar bersama, saya terfikir alang-alang bergambar maka saya pakaikan anak kembar dengan pakaian seperti saya untuk tujuan fotografi secara suka-suka.

"Tidak sangka pula ia boleh viral (tular) kerana sebelum ini pun banyak juga saya kongsikan gambar dan video mereka (pasangan kembar) di Twitter dan Instagram," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bercerita lanjut, suri rumah sepenuh masa ini memberitahu, Maryam Raudhah dan Maryam Wardhah sememangnya gemar bergambar dan beraksi di hadapan kamera.

Katanya, ada kalanya pasangan kembar itu akan mengambil telefon bimbit miliknya dan membuka kamera untuk mengambil gambar 'selfie' sama ada seorang diri atau berdua.

Noorsuriyana berkata, semuanya dilakukan jika tiada orang lain di sekeliling pasangan kembar itu kerana mereka sebenarnya pemalu atau mungkin juga takut dengan orang lain.

"Ada juga masanya mereka akan bergilir mengambil gambar satu sama lain selain gambar saya, suami dan adik mereka.

"Alhamdulillah setakat ini mereka tidak cemburu dengan adik mereka sebaliknya akan tanya 'mana adik' setiap kali bangun tidur," katanya.

ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa yang maut akibat lemas di Sungai Bil, Slim Village. FOTO ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa yang maut akibat lemas di Sungai Bil, Slim Village. FOTO ihsan JBPM.

Noorsuriyana berkata, dikurniakan anak kembar diakui sangat mencabar untuknya pada peringkat awal memandangkan itulah juga pengalaman pertamanya bergelar ibu.

Katanya, dia bersyukur pasangan kembar itu mudah dijaga dan cukup menyenangkan.

"Mungkin betullah orang kata, jika seorang menangis, seorang lagi akan turut menangis. Saya sendiri laluinya dan itulah antara cabaran beranak kembar.

"Saya masih ingat, pernah kata kepada ibu ketika awal kehamilan, macam mana kalau mengandungkan anak kembar dan rupa-rupanya ia memang betul.

"Ketika itu doktor mengesan ada dua kantung dalam perut bermakna saya mengandungkan kembar tidak seiras. Mungkin ramai melihat mereka serupa tetapi sebenarnya ada beza," katanya.

Noorsuriyana berkata, kini pengalaman Maryam Raudhah dan Maryam Wardhah menyambut kehadiran adik mereka yang belum diberi nama itu akan terus dikongsi di laman Instagram dan Twitter mereka dikenali dengan nama TwincessMaryams.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 9:00 PM
GELAGAT Maryam Raudhah dan Maryam Wardhah meniru gaya ibunya yang sedang berpantang. FOTO ihsan Noorsuriyana Samsudin
GELAGAT Maryam Raudhah dan Maryam Wardhah meniru gaya ibunya yang sedang berpantang. FOTO ihsan Noorsuriyana Samsudin