Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: Kata dua diberikan iaitu penjaja pasar malam perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sekiranya mahu kembali berniaga.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pematuhan itu perlu bersesuaian dengan normal baharu dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih dilaksanakan.

Menurutnya, ruang perbincangan dan menyalurkan maklum balas sentiasa terbuka untuk kebaikan bersama terutama jika penjaja merasakan SOP ditetapkan terlalu ketat hingga menyukarkan mereka.

"Saya berbincang dengan Datuk Seri Ismail Sabri (berhubung hal SOP) dan ada maklum balas diperoleh.

"Kita sentiasa fikir cara terbaik dan apa dibuat sudah dibincangkan dengan mengambil kira aspek kesihatan serta lain-lain lagi.

"Rasa ketat, sukar, boleh bincang. They can always come back (Mereka sentiasa boleh datang semula kepada kita)," katanya selepas menyempurnakan majlis pelepasan 187 gelandangan yang mengikuti Program Latihan Khas selama sebulan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sepang Selangor di Pusat Transit Gelandangan di sini, semalam.

Difahamkan 52 lagi gelandangan dihantar mengikuti Program Pemulihan dan Bimbingan selama tiga bulan di Pusat Pemulihan Dadah, Kuantan, Pahang.

Sebelum ini, 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dilaporkan memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang PKPP susulan SOP yang terlalu ketat.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR, Azkhalim Suradi berkata, meskipun mereka sudah dibenarkan beroperasi semula bermula kelmarin, pihaknya berpendapat SOP itu perlu dikaji semula kerana tidak munasabah untuk dilaksanakan ke atas pasar malam dan kemungkinan menyebabkan penjaja serta peniaga pasar malam menanggung kerugian berikutan bilangan pengunjung satu-satu masa dihadkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 6:40 AM