HAEL jelaskan lagu Peluang Kedua dicipta khas untuk penyanyi terbabit selain turut menghargai kerjasama diberikan. FOTO Nizar Hafiz Mustafa (@nizarhafizmustafa)
HAEL jelaskan lagu Peluang Kedua dicipta khas untuk penyanyi terbabit selain turut menghargai kerjasama diberikan. FOTO Nizar Hafiz Mustafa (@nizarhafizmustafa)
Sudirman Mohd Tahir

LAGU Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali bukan sahaja sedap didengar, malah lagu ciptaan penyanyi dan komposer hebat, Hael Husaini itu terus menjadi siulan anak muda.

Melodi dan lirik lagu cukup menyatu sehingga membuatkan peminat muzik tempatan terbuai dengan keasyikan lagu itu.

Malangnya, di sebalik kesempurnaan lagu itu, ramai beranggapan Hael tidak sepatutnya memberikan lagu itu kepada Nabila. Pelbagai kritikan dilemparkan kepada penyanyi terbabit.

Bagaimanapun, selaku komposer, Hael menjelaskan lagu itu memang diciptakan khas buat Nabila selain berterima kasih kepada penyanyi lagu Permata Hati itu kerana sekali lagi bekerjasama dengan dirinya.

"Sebagai komposer saya sememangnya sangat berbangga dan berpuas hati dengan penerimaan lagu itu dan saya ingin berterima kasih kepada Nabila kerana terus mempercayai saya dan rakan komposer dalam menghasilkan lagu untuknya.

"Ingin saya tegaskan di sini, lagu itu sememangnya dicipta khas untuk Nabila dan isu sesuai atau sebaliknya tidak seharusnya timbul.

"Saya seorang yang tidak pandang kesempurnaan seseorang dalam nyanyian, selagi namanya manusia tiada yang sempurna. Saya lebih tertarik dengan keunikan, usaha dan sikap seseorang ketika bekerja," katanya.

PENGAMBARAN video muzik single terbaru Hael  berjudul Bujang akan dijalankan dalam masa terdekat. FOTO Nizar Hafiz Mustafa (@nizarhafizmustafa)
PENGAMBARAN video muzik single terbaru Hael berjudul Bujang akan dijalankan dalam masa terdekat. FOTO Nizar Hafiz Mustafa (@nizarhafizmustafa)

Hael yang juga pemenang Anugerah Juara Lagu dua tahun berturut-turut tidak mampu menghalang dan menyekat perbandingan dibuat peminat antara Nabila dengan penyanyi lain.

"Saya juga tidak mampu untuk menghalang perbandingan yang dilakukan oleh pendengar. Bagi saya ia lebih kepada minat dan pandangan masing-masing.

"Kita berhak untuk suka atau tidak terhadap sesuatu perkara dan ia adalah normal," katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya dirinya, Hael yang muncul dengan single duet bersama Cakra Khan, Terlanjur Cinta bakal melancarkan single solo, Bujang tidak lama lagi.

"Saya akan mengeluarkan single baharu bertajuk Bujang tidak lama lagi. Lagu ini adalah kerjasama seterusnya saya bersama MFMF.

"Kalau ikutkan lagu ini sepatutnya dilancarkan pada April lalu, tetapi ditunda kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi setelah aktiviti pengambaran dibenarkan pihak kerajaan, saya akan melakukan pengambaran video muzik dalam masa terdekat," katanya.

PKP beri impak besar

Pelaksanaan PKP sejak Mac lalu memberi impak yang cukup besar dalam kerjaya penggiat seni tempatan apabila sumber pendapatan mereka terjejas teruk.

"Saya sebagai anak seni yang memang bekerja sepenuh masa dalam bidang ini sememangnya terjejas. Kalau diikutkan, aktiviti seni sebenarnya sudah diberhentikan lebih awal lagi sebelum pelaksanaan PKP.

"Bayangkan sekitar empat bulan tidak dapat bekerja dan hilang punca pendapatan, pastinya memberi impak yang besar buat saya dan rakan industri yang lain. Walau bagaimana pun, saya masih bersyukur kerana mempunyai sedikit simpanan yang boleh digunakan buat masa 'kecemasan' seperti sekarang.

HAEL mengharapkan Anugerah Industri Muzik (AIM) dapat dianjurkan kembali untuk mengangkat kembali karya anak seni dalam bidang muzik dan seni suara. FOTO Nizar Hafiz Mustafa (@nizarhafizmustafa)
HAEL mengharapkan Anugerah Industri Muzik (AIM) dapat dianjurkan kembali untuk mengangkat kembali karya anak seni dalam bidang muzik dan seni suara. FOTO Nizar Hafiz Mustafa (@nizarhafizmustafa)

"Jauh di sudut hati saya ingin kembali bekerja seperti mereka yang sudah dibenarkan kembali bekerja, namun sebagai rakyat Malaysia, saya pasti pihak kerajaan akan melakukan sesuatu mengenai kebenaran melakukan aktiviti seni untuk golongan kreatif seperti kami dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu. Kita juga perlu memberi masa dan kepercayaan kepada pihak kerajaan untuk menyelesaikan semua ini satu persatu," katanya.

Pun begitu, sedikit perkhabaran gembira diterima apabila kerajaan mengumumkan bantuan kewangan RM225 juta untuk industri kreatif dan hiburan. Ini bermakna industri muzik turut bakal mendapat manfaat.

Selaku komposer dan penggiat muzik, Hael turut meletakkan harapan supaya bidang muzik tidak dipinggirkan.

"Sebagai anak seni, saya mengharapkan dana yang diberi dapat digunakan sebaiknya untuk kemajuan industri kreatif dan hiburan.

"Saya juga mengharapkan agar Anugerah Industri Muzik(AIM) dapat dianjurkan kembali seterusnya mengangkat kembali karya anak seni terutama dalam bidang muzik dan seni suara agar dapat pengiktirafan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:00 AM