AHLI keluarga berkumpul di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ. FOTO Ghazali Kori.
AHLI keluarga berkumpul di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA yang menjadi mangsa keracunan puding buih meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Mangsa berusia 25 tahun dari Marang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ pada 10.40 pagi akibat kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Mangsa bersama beberapa ahli keluarganya dimasukkan ke HSNZ selepas makan puding itu yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.

Kematiannya disahkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak, yang mana wanita itu mangsa pertama susulan kes itu.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita simpati dan harap keluarga bersabar dengan dugaan diberikan.

"Mangsa lain yang ditempatkan di HSNZ dan hospital swasta sudah pulih, dibenarkan pulang secara berperingkat," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HSNZ, hari ini.

Sebelum ini, seramai 99 mangsa dari Kuala Terengganu dan Marang dikejarkan ke HSNZ kerana mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih berkenaan.

Mangsa membabitkan 20 keluarga iaitu 77 pesakit di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit dari Marang.

Kejadian itu disiasat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan tindakan diambil ke atas peniaga terbabit, kata Dr Alias.

Berita berkaitan:

  • Telur punca keracunan puding buih
  • Serik makan puding buih [METROTV]
  • 25 lagi mangsa keracunan puding buih
  • Mangsa keracunan puding buih meningkat 74 orang
  • Beraya di hospital angkara puding buih

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:07 PM