Syaherah Mustafa

MELIHAT kepada nilai dan potensi besar terhadap penternakan ikan kelah, seorang doktor perubatan menternak 10,000 ikan terbabit di kolam miliknya di Kampung Chicha, Kubang Kerian di Kota Bharu.

Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail, 63, berkata, bermodalkan RM800,000, dia memulakan penternakan ikan itu termasuk jenis Butterfly Carp di dalam kolam seluas 278.7 meter persegi sejak Mac 2018.

Dia yang juga memiliki klinik tidak lokek berkongsi minat dalam bidang penternakan ikan yang bukan sahaja memberi pulangan lumayan, malah berfaedah untuk perubatan serta turut dijual sebagai perhiasan atau makanan.

DR Ab Aziz Al Safi Ismail memantau kawasan ternakan ikan kelah bersama ikan koi ketika ditemui di tapak miliknya di Kampung Chicha, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Ab Aziz Al Safi Ismail memantau kawasan ternakan ikan kelah bersama ikan koi ketika ditemui di tapak miliknya di Kampung Chicha, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Ikan kelah sangat istimewa dalam perubatan. Kulit dan tulangnya memgandungi kolagen yang mujarab merawat luka manakala isinya yang lazat menjadi menu utama di restoran mahal atau hotel terkemuka.

"Tempoh matang ikan kelah ialah 30 bulan sebelum boleh dijual. Permintaan ikan ini sangat tinggi. Selain pasaran dalam negara, ia turut dieksport ke Thailand dan Singapura.

"Saya menitikberatkan kualiti ikan dengan memastikan air kolam sentiasa bersih termasuk diberi makanan berkhasiat seperti labu dan jagung," katanya di tapak kolam ikannya.

SEBAHAGIAN anak ikan kelah dan ikan koi yang diternak Dr Ab Aziz Al Safi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN anak ikan kelah dan ikan koi yang diternak Dr Ab Aziz Al Safi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bapa enam cahaya mata berusia 19 hingga 24 tahun itu berkata, harga runcit ikan kelah ialah RM450 sekilogram manakala RM180 sekilogram jika dibeli secara borong.

"Saya dibantu empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga ikan ini serta memastikan air kolam sentiasa mengalir dan bersih. Namun, jika berkelapangan, saya datang memberi makan dan meninjau keadaan ikan.

"Kolam ini juga istimewa kerana seperti kolam renang dengan air bersih selain dilengkapi air terjun buatan. Pengunjung mengakui merasa tenang dengan suasana di sini.

"Saya mengalu-alukan orang ramai turut mengusahakan penternakan ikan terutama kelah yang memberi pendapatan lumayan," katanya.

Dr Ab Aziz berkata, bagaimana pun sesiapa yang ingin menceburi bidang penternakan memerlukan kesabaran, kerajinan serta minat yang mendalam untuk berjaya.

TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada  Dr Ab Aziz Al Safi (kiri)  ketika melawat Tapak Penternakan Ikan Kelah di Chicha, Pasir Tumboh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 8:00 AM