TIADA beza sama ada beraya sebagai artis atau gadis biasa.
TIADA beza sama ada beraya sebagai artis atau gadis biasa.
Ridzuan Abdul Rahman

KEBIASAANNYA pelakon cantik Intan Najuwa Abdul Wahid, 23, meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara di kampungnya di Johor.

Namun, apakan daya musibah pandemik Covid-19 mengubah segala-galanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan melarang perjalanan merentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung bagi membendung penularan penyakit itu.

Intan akur dan memilih beraya bersendirian di Kuala Lumpur.

"Tak apalah tak dapat balik kampung pun. Saya ikut arahan kerajaan supaya beraya di rumah masing-masing.

"Hari ini sudah hari raya ketiga dan saya okay saja. Lagipun ada keluarga terdekat yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Walaupun tak seperti sebelum ini, tak apalah kerana apa yang penting ialah keselamatan dan kesihatan saya dan semua pihak," katanya.

Mengimbau kenangan meraikan Aidilfitri di kampung, Intan berkata, ia adalah detik yang sangat menggembirakan.

"Raya di Johor memang meriah kerana semua keluarga balik berkumpul di rumah opah. Daripada emak saudara, sepupu semuanya akan bekerjasama untuk masak pada malam raya dan saya pun terbabit sama.

SYUKUR perniagaan dapat sambutan.
SYUKUR perniagaan dapat sambutan.

"Memang sangat seronok, tapi kali ini agak berbeza. Tak apalah, kita kena biasakan benda baru," katanya.

Disebabkan kesibukannya, Intan mengakui sering melakukan persiapan raya pada saat-saat akhir.

"Raya yang sebelum ini pun saya tak tempah baju. Biasanya seminggu sebelum raya baru saya kelam-kabut buat persiapan beli secara 'online'.

"Kalau dulu, saya kelam-kabut pergi pusat beli-belah untuk beli pakaian raya. Pernah juga saya beli baju raya pada malam raya. Benda itu paling akhir difikirkan oleh saya," katanya.

Tiada beza raya sebagai artis Intan yang menyinar menerusi beberapa drama antaranya Setelah Ku Dimiliki dan Ironi Kasih berkata, sama ada beraya sebagai artis atau gadis biasa, langsung tiada perbezaan baginya.

"Saya tak pernah ada perasaan begitu. Masa raya saya tetap kena masak, cuci pinggan serta periuk. Tiada keistimewaan langsung.

"Untuk apa saya nak tunjuk lagak sedangkan raya adalah masa untuk kita bersuka ria dan bercampur dengan saudara-mara menerusi aktiviti yang menggembirakan," katanya.

Pernah mengalami peristiwa putus tunang dengan ahli perniagaan, Razrul Anwar Rusli, Intan enggan mengenang lagi perkara lalu.

"Saya lebih suka fokus dengan apa yang dilakukan sekarang. Alhamdulillah, perniagaan dapat sambutan luar jangka dan saya sangat gembira.

"Saya juga terbabit dengan penggambaran drama 28 episod yang terpaksa ditunda kerana PKP. Lega rasanya apabila kerajaan benarkan penggambaran dibuat dengan ikut prosedur operasi standard (SOP) selepas raya nanti," katanya.

AKUI sering melakukan persiapan raya pada saat-saat akhir.
AKUI sering melakukan persiapan raya pada saat-saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:00 AM