TOK Selehor. FOTO Aswadi Alias
TOK Selehor. FOTO Aswadi Alias
Yusmizal Dolah Aling

SENTIASA memberi manfaat kepada orang lain dalam kehidupan adalah antara amanat ulama tersohor Kelantan dan nusantara, Allahyarham Haji Abdul Rahman Utsman atau Tok Selehor.

Mengabdikan diri untuk ilmu serta hubungan dengan Allah SWT, pengasas Kampung Selehor di Tumpat itu juga sangat suka kepada ilmu dan ia terbukti dengan usahanya menuntut ilmu sepanjang hidupnya termasuk di Tanah Suci Makkah selama 18 tahun.

Ulama tasawuf ini juga mempunyai anak murid dari dalam dan luar negara termasuk Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa dan Siak yang meneruskan legasi majlis ilmu itu sehingga hari ini.

Kecenderungan mengenai ilmu agama itu diperturunkan kepada generasi selepasnya dan ia dipraktikkan ahli keluarga termasuk cicitnya yang juga Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

DR Asyraf Wajdi. FOTO Aswadi Alias
DR Asyraf Wajdi. FOTO Aswadi Alias

Menurut Dr Asyraf Wajdi, beliau banyak mengetahui cerita mengenai moyangnya itu daripada neneknya, Hajjah Khadijah dan bapanya, Datuk Dusuki Ahmad.

Kata Dr Asyraf Wajdi, sejak kecil, dia dan adik beradik yang lain sering diingatkan mengenai pesanan Tok Selehor supaya sentiasa menyumbang kepada masyarakat dan menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Kerana itu, walaupun belajar dalam bidang lain, Dr Asyraf Wajdi mengambil keputusan untuk masuk ke sekolah agama bagi meneruskan kesinambungan legasi ditinggalkan Tok Selehor.

"Sejak kecil, kami ditekankan dengan perkara ini, sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat dan menjaga hubungan dengan Allah SWT.

"Saya banyak mendengar nasihat daripada nenek saya yang juga anak Tok Selehor. Selain mengajar di banyak tempat, dia juga mengajar al-Quran termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di istana," katanya.

SULUK Tok Selehor yang menjadi tempat berkhalwat untuk mendekatkan diri dengan Allah masih wujud sehingga hari ini. FOTO Aswadi Alias
SULUK Tok Selehor yang menjadi tempat berkhalwat untuk mendekatkan diri dengan Allah masih wujud sehingga hari ini. FOTO Aswadi Alias

Menurut Dr Asyraf Wajdi, antara tinggalan Tok Selehor yang masih digunakan hingga ke hari ini ialah Suluk Tok Selehor di Tanah Perkuburan Islam Kok Pasir, Tumpat yang sudah digazetkan sebagai kawasan pelancongan.

"Ia juga satu-satunya suluk di Asia Tenggara yang dibina pada 1921 untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

"Begitu juga dengan pengajian pondok. Saya sempat merujuk kepada beberapa anak muridnya yang kini sudah meninggal dunia.

"Tok Selehor bukan saja mewariskan ilmu agama, tetapi panduan hidup termasuk kepada kami, anak cucunya. Kami juga mengamalkan selawat tafrijiyah yang diajarnya," katanya.

WAKAF Tok Selehor. FOTO Aswadi Alias
WAKAF Tok Selehor. FOTO Aswadi Alias

Menurut Dr Asyraf Wajdi, bapanya ada menulis buku mengenai kisah hidup neneknya serta Tok Selehor dan ia menjadi rujukan kepada seluruh keluarga mengenai moyang mereka.

Katanya, nasihat yang sama mengenai kepentingan ilmu dan perkara berkaitan Islam kini diperturunkan kepada anak-anaknya agar mereka menjadi orang yang beriman.

"Daripada sejarah, saya tahu moyang saya ini seorang yang warak, zuhud dan pemurah. Jadi saya perlu teladani sejarah hidupnya supaya turut diberkati Allah SWT," katanya.

INFO

• Allahyarham Haji Abdul Rahman Utsman turut dikenali sebagai Tok Selehor.

• Mendalami ilmu agama di Tanah Suci Makkah selama 18 tahun.

• Anak muridnya termasuk dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa dan Siak.

• Suluk Tok Selehor di Tanah Perkuburan Islam Kok Pasir, Tumpat adalah satu-satunya suluk di Asia Tenggara yang dibina pada 1921 untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 7:30 AM