Balqis Jazimah Zahari


"ARWAH sempat berkongsi gambar lama selepas habis rekrut dengan lengkap berpakaian seragam putih di dalam aplikasi Whatsapp keluarga," kata Lans Koperal Suraya Muhammad Ismail, kakak kepada Allahyarham Koperal Safwan yang maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang, hari ini.

Suraya, 32, berkata, ia gambar terakhir yang dikongsi adiknya pada 1 Mei sebagai tanda sudah 11 tahun berkhidmat dalam polis.

"Pada tengah hari Jumaat, arwah menghantar gambar lama lengkap berpakaian seragam istiadat dalam Whatsapp kerana sudah 11 tahun berkhidmat.

"Arwah memang kerap berkongsi gambar, itulah gambar kali terakhir yang dikongsi arwah sebelum meninggalkan kami buat selamanya," katanya.

Suraya yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta berkata, keluarganya dihubungi berhubung kejadian menimpa adiknya itu pada jam 3.15 pagi tadi.

"Ada pegawai polis memaklumkan kepada suami yang adik saya kemalangan dan selang beberapa minit kemudian kami diberitahu dia sudah meninggal.

"Mak orang pertama kami beritahu, kami sorok daripada ayah dan mengejutnya untuk bangun sahur awal pada jam 3 pagi sebelum perlahan-lahan memberitahu dan memintanya bersabar," katanya sambil memaklumkan ibu bersama dua adik lelaki ke Hospital Serdang.

Sementara itu, bapa arwah, Muhammad Ismail Othman, 60, berkata, dia sedih dan terkejut dengan berita namun reda dengan ketentuan Ilahi menjemput anak keduanya itu ketika sedang bertugas.

MUHAMMAD Ismail menunjukkan gambar yang dikongsi arwah ketika sedang bertugas. FOTO Balqis Jazimah Zahari
MUHAMMAD Ismail menunjukkan gambar yang dikongsi arwah ketika sedang bertugas. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Mulanya saya hairan anak kejutkan sahur awal, semasa di ruang tamu saya sekali lagi dikejutkan anak dan selepas itu baru saya tahu Wan sudah tiada.

"Saya berasa sedih dan tidak menyangka perkara terjadi dan ini kehendak Allah saya reda," katanya.

Muhammad Ismail berkata, Allahyarham sempat menjenguknya ketika dia dimasukkan ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selama enam hari baru-baru ini kerana masalah jantung baru-baru ini.

"Hari pertama puasa dia ada balik rumah dalam keadaan tergesa-gesa dan sempat jenguk saya di hospital tetapi dia beritahu mahu segera balik kerana bertugas," katanya.

Menurutnya, Safwan seorang anak yang baik dan selalu menghubunginya untuk bertanya khabar selain sering berkongsi gambar sedang bertugas di Whatsapp keluarga.

Katanya, dia meminta orang ramai berhenti menyebarkan gambar anaknya di media sosial.

"Saya tidak tergamak hendak tengok gambar itu. Pada zaman sekarang susah menyekat, sudah-sudahlah tularkan gambar itu cukuplah orang-orang tertentu tahu," katanya.

Jenazah yang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bakar Bata di Tanjung Rambutan pada jam 3 petang.

Berita berkaitan

Kematian Koperal Safwan sangat memilukan - KPN

Polis maut dirempuh pemandu mabuk [METROTV]

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 12:49 PM
    (Gambar kiri) Gambar terakhir Allahyarham Koperal Safwan yang dikongsi di Whatsapp keluarga. (Gambar kanan) Antara gambar Allahyarham Koperal Safwan yang dikongsi dengan keluarga. FOTO ihsan keluarga
    (Gambar kiri) Gambar terakhir Allahyarham Koperal Safwan yang dikongsi di Whatsapp keluarga. (Gambar kanan) Antara gambar Allahyarham Koperal Safwan yang dikongsi dengan keluarga. FOTO ihsan keluarga