MASIH berlakon tetapi tidak seaktif dulu kerana berasa sudah terlalu lama berlakon bawa pelbagai watak.
MASIH berlakon tetapi tidak seaktif dulu kerana berasa sudah terlalu lama berlakon bawa pelbagai watak.
Ridzuan Abd Rahman

RAMAI yang memberikan reaksi positif terhadap lakonan Intan Ladyana menerusi drama bersiri Ironi Kasih yang baharu selesai tayangannya di TV3 pada 22 April lalu.

Selain itu, ramai juga tertanya-tanya mengapa pelakon cantik ini seakan menyepikan diri sedangkan lakonannya masih hebat dan mampu menghiburkan mereka.

Menjawab persoalan ini, Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat

Yahaya berkata, dia mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

"Bukanlah menyepi sepenuhnya. Saya ada juga berlakon tapi tidaklah seaktif dulu. Keputusan ini dibuat kerana sudah lama sangat saya berlakon dan bawa pelbagai watak.

"Jadi tiba masanya untuk pilih naskhah dan watak yang dirasakan sesuai. Biarlah ia lain daripada yang dibawa sebelum ini," katanya.

Sebelum Ironi Kasih, Intan pernah membintangi drama Rumah Siti Khadijah yang juga ditayangkan menerusi TV3.

"Selepas drama ini, saya tampil menerusi Ironi Kasih dan alhamdulillah ia mendapat respons yang bagus daripada penonton. Semua sukakan cerita itu dan watak saya sebagai Emilia. Mereka dapat terima walaupun watak itu awalnya bukan baik sangat.

"Ikutkan selama ini saya aktif berlakon. Namun,seperti dikatakan tadi, saya cuba kurangkannya. Insya-Allah selepas ini saya akan kerap muncul dalam drama," katanya.

Apapun semuanya bergantung kepada rezeki dan naskhah yang diberikan.

INTAN tangguh beberapa penggambaran kerana akur dengan pelaksanaan PKP.
INTAN tangguh beberapa penggambaran kerana akur dengan pelaksanaan PKP.

"Sepatutnya ada beberapa penggambaran yang perlu dibuat dari April hingga Jun. Namun semuanya terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Nak salahkan sesiapa pun tak boleh juga. Cuma kita harap ia cepat berakhir. Kalau keadaan pulih pun, tak semestinya penggambaran boleh dibuat kerana larangan pembabitan ramai pihak pada satu-satu masa dan perlu hati-hati lagi," katanya.

Sepanjang kurang aktif, Intan memanfaatkannya dengan menghabiskan masa bersama keluarga.

"Saya buat benda-benda yang tak sempat dibuat dulu kerana sibuk. Saya luangkan masa untuk diri sendiri dengan berehat dan berjalan-jalan. Saya juga buat kajian untuk perbaiki kekurangan saya dengan menonton cerita dan belajar memahami watak.

"Pada masa sama, insya-Allah saya akan terbabit dengan satu projek. Apabila dah jadi nanti saya akan umumkan. Semuanya bergantung kepada tempoh PKP berkuat kuasa," katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Intan turut terbabit sebagai pengacara menerusi program dokumentari TV berjudul Versi Organik, PHD Hebat Dinamik, program travelog di YouTube dan terbaharu, travelog untuk TV Okey bersama Liyana Jasmay berjudul Glamper Girls.

Pada usia 37 tahun sekarang, Intan masih selesa bersendirian. Dia sukar bercakap soal jodoh.

"Soal jodoh saya kurang pasti dan susah nak cakap. Insya-Allah kalau ada akan diberitahu kepada semua.

"Saya memang takkan sorok kalau jodoh sampai. Bahkan saya pun sentiasa berdoa agar dipercepatkan jodoh. Insya-Allah, bila Allah kata sampai waktunya, sampailah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 6:00 AM