WANI Kayrie lebih selesa mengatakan hubungan dengan Afieq Syazwan sebagai teman baik. FOTO Ihsan Suria Records
WANI Kayrie lebih selesa mengatakan hubungan dengan Afieq Syazwan sebagai teman baik. FOTO Ihsan Suria Records
Najiy Jefri

MESKIPUN setiap insan mendambakan secebis rasa bahagia dalam perhubungan , namun cinta bukanlah sekadar sebuah ungkapan sebaliknya komitmen yang harus dijaga dengan baik.

Barangkali itu adalah kata yang sesuai untuk menggambarkan pendirian penyanyi Wani Kayrie ketika ini yang enggan terburu-buru dalam mengejar cinta.

Meskipun keserasian antara dirinya dengan penyanyi Afieq Syazwan menjadi sebutan ramai, namun Wani lebih selesa mengatakan hubungan mereka sebagai teman baik.

Kata Wani, di usia yang muda ini perjalanannya masih panjang untuk menuju sebuah perhubungan cinta, lebih baik dia fokus untuk membina nama dalam karier seninya.

"Saya tidak mahu ada komitmen sebab masing-masing masih muda dan berada dalam lapangan seni yang sama.

"Jadi saya kira lebih baik, kami memberikan fokus untuk membina nama memandangkan kami berdua baru nak naik dalam industri seni.

"Lagipun bercinta ini bukan perkara yang mudah sebaliknya ia memerlukan komitmen yang harus dijaga dengan baik," katanya.

Menurut Wani, memandangkan dia kini baharu saja mengikuti pengajian ijazah dalam jurusan undang-undang dan perdagangan di Management & Science University (MSU), dia lebih selesa hubungan mereka kekal sebagai kawan baik.

"Saya dan Afieq rapat kerana kami senang untuk berbincang atau berborak. Saya kalau ada masalah pasti akan mencari Afieq. Begitu juga dengan dia.

"Jadi biarlah hubungan kami ini kekal sebagai kawan baik dahulu. Saya lebih selesa dengan cara itu kerana banyak lagi perkara yang perlu kami selesaikan dalam hidup ini," katanya.

WANI mahu fokus membina nama dalam industri seni. FOTO Ihsan Suria Records
WANI mahu fokus membina nama dalam industri seni. FOTO Ihsan Suria Records

Rancang muncul dengan lagu pop

Melihat rentak karier seni nyanyiannya yang sedikit perlahan apabila lagu terbaharunya berjudul Magika kurang mendapat sambutan, Wani akui sedar mengenainya.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya Wani berkata belum rezeki untuk lagu terbabit menjadi hits seperti yang diharapkan.

"Tidak dinafikan single ini sudah dilancarkan pada 1 November tahun lalu, namun kurang mendapat tempat di hati pendengar.

"Barangkali percubaan pop dangdut yang diselitkan dalam lagu ini tidak memberi impak. Sebenarnya lagu ini saya lancarkan untuk peminat di Indonesia.

"Seperti yang semua tahu, saya pernah menyertai program realiti D'academy Asia 4 di Indonesia pada 2018. Jadi, ada permintanan untuk saya melancarkan lagu seperti itu.

"Bagaimanapun saya akur dan berlapang dada dengan apa yang berlaku. Saya juga kini dalam proses mengumpul material untuk buah tangan seterusnya.

"Masih akan mengekalkan genre pop seperti lagu Jangan Jangan, Wani kini mencari komposer yang sesuai untuk lagu terbaharunya nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wani memanfaatkan masa dengan mengikuti kelas pengajian dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Sebelum ini, saya mengambil program prasiswazah dan sudah selesai. Jadi saya teruskan dengan menyambung pengajian ijazah menerusi dalam talian," katanya.

Selain itu, Wani turut menganjurkan sesi siaran langsung atau live di laman sosial Instagram miliknya.

"Setiap dua hari, Wani akan bersama rakan selebriti untuk berinteraksi dengan peminat.

"Sebelum ini, saya muncul dengan Rossa, Sarah Suhairi, Jaa Suzuran, Wani Hasrita dan Nabila Razali. Inilah masa terbaik untuk kami berinteraksi dengan pengikut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:00 AM