GAMBAR kenangan Hafizi bersama anaknya. Gambar kanan, Hafizi ketika bertugas di barisan hadapan. FOTO Ihsan Hafizi Hadi
GAMBAR kenangan Hafizi bersama anaknya. Gambar kanan, Hafizi ketika bertugas di barisan hadapan. FOTO Ihsan Hafizi Hadi
Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid


“UCAPKANLAH syukur Alhamdulillah apabila anda dapat bersama keluarga di rumah sebab ada yang sangat berharap berada bersama keluarganya... #percayalah... #dudukdirumah.”

Itu status Hafizi A Hadi, 28, di Facebook (FB) yang ‘terpisah’ dengan isterinya Nordiana Ab Manan, 29, dan anak mereka Abdul Mateen sejak lebih sebulan lalu apabila terpaksa akur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagaimana semua orang lain perlu patuh perintah itu dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ketika dihubungi Harian Metro, Hafizi berkata, kali terakhir dia bertemu isterinya adalah 8 Mac lalu, manakala tarikh terakhir dapat menatap berdepan anaknya yang baru berusia lima bulan adalah 16 Mac lalu.

Dia dan pasangannya adalah antara ribuan pasukan barisan hadapan yang gigih menunaikan tanggungjawab berperang untuk mengalahkan virus Covid-19 di negara ini.

Hafizi bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di Titiwangsa, antara lokasi yang sudah diklasifikasikan sebagai zon merah.

Isterinya yang lebih mesra disapa sebagai Diana ketika ini bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Tuaran, Sabah, manakala cahaya mata tunggal kini tinggal di Klang, Selangor dijaga ibu bapa Diana.

GAMBAR kenngan Hafizi bersama isteri dan anaknya. FOTO Ihsan Hafizi Hadi
GAMBAR kenngan Hafizi bersama isteri dan anaknya. FOTO Ihsan Hafizi Hadi

Ikuti luahan Hafizi untuk pedoman bersama:

“Inilah kisah kami sekeluarga yang terpisah sejak PKP. Saya seorang penolong pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur dan menetap di Cheras.

“Isteri pula bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Tuaran, Sabah. Kami juga mempunyai seorang anak berusia lima bulan yang kini dijaga oleh keluar isteri di Klang, Selangor.

“Kami terpaksa terpisah atas tuntutan kerja. Selepas habis tempoh pantang, isteri terpaksa kembali bertugas di Sabah selepas permohonan untuk berpindah semula ke Lembah Klang semula ditolak sebanyak dua kali.

“Namun, kami akur dan terus dalam membuat rayuan. Anak terpaksa kami tinggalkan kepada keluarga di Klang. Ini kerana jadual kerja isteri yang terpaksa bertugas on-call antara lapan hingga 10 kali sebulan menyukarkan dia untuk bekerja sambil menjaga anak tanpa bantuan ahli keluarga atau kenalan yang boleh dipercayai.

“Maklumlah sekarang banyak kes yang tak diingini sering kita dengar. Sebelum PKP, isteri akan susun atur jadual untuk pulang supaya kami dapat berkumpul sekeluarga.

“Ada rezeki dua minggu sekali. Cuti hujung minggu pun dah cukup buat kami melepaskan rindu dan isteri juga dapat menghantar bekalan susu ibu buat si anak. Namun sejak PKP, kami tak dapat lagi berjumpa.

“Kami diarahkan bertugas dan tidak boleh keluar kawasan dari tempat kerja kerana bila-bila masa kami boleh dipanggil bertugas. Malah, cuti rehat juga dibekukan.

“Kami suami isteri turut risau jika jadi punca antara kami sekeluarga terjangkit disebabkan kami berdua terbabit dalam proses saringan pesakit Covid-19.

“Kali terakhir saya hantar isteri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah 8 Mac. Itulah hari terakhir dia bersama anak kami. Tiket penerbangan untuk kembali ke KLIA pada hujung bulan Mac pun sudah siap dibeli, namun penerbangan semua dibatalkan disebabkan PKP.

“Anak pula terpaksa mula diberi susu formula. Anak kecil ini pun kadang-kadang mula meragam, lebih kuat menangis daripada sebelumnya. Kadang-kadang terdengar nada letih orang tua kami mengurus cucu.

“Maklumlah mereka juga dah berusia, tak sekuat dahulu. Kami tahu walaupun mereka tak pernah merungut atau bersuara apa-apa.

“Walaupun dalam tekanan dan kerinduan yang amat sangat, kami tetap gigih dalam bertugas dengan harapan tinggi supaya wabak Covid-19 ini boleh cepat selesai dan saya boleh kembali berjumpa anak dan isteri seperti biasa.

“Kami juga tidak kisah tidak diberi cuti dan terpaksa bekerja demi negara asalkan kami dapat bersama sebagai sebuah keluarga seperti orang lain juga.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 12:36 AM