Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS sudah merakam keterangan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berhubung rakaman video orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) di Johor Bahru yang dimuat naik menerusi akaun Facebook (FB) miliknya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya turut merampas gajet yang digunakan untuk memuat naik video dan kenyataan berkenaan.

“Pada 10 April (Jumaat) lalu, polis sudah menjalankan siasatan berhubung satu kenyataan dan video yang dimuat naik pemilik akaun Fuziah Salleh di FB.

“Pengarah Jabatan Imigresen Johor sudah menafikan perkara berkenaan sebelum memuat laporan polis berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Huzir berkata, siasatan diklasifikasi mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan khabar angin.” katanya.

Sementara itu, menurut Huzir, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 48 tahun kerana memuat naik kenyataan berbaur hasutan dan mengaibkan kerajaan Malaysia.

“Wanita berkenaan adalah pemilik akaun ‘Wendy Shoo Wai Ching’ memuat naik dua kenyataan di FB pada 9 April lalu.

“Susulan itu, siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan sebelum polis menahan wanita berkenaan semalam dan merampas gajet yang digunakan,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan hasil siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Selain itu, kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 9:33 AM