Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 69 daripada 3,963 kes positif Covid-19 yang direkodkan di negara ini sudah diklasifikasikan sebagai sporadik atau tidak diketahui punca jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih gagal mengenal pasti punca jangkitan terhadap 69 kes berkenaan.

Katanya, kes sporadik itu dikesan selepas KKM menjalankan saringan terhadap 8,025 pesakit penyakit seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI)

"Ia bagi mengesan sama ada kes terbabit ada di lapangan atau tidak. setakat ini 69 kes positif, manakala 7,956 lagi negatif, selain jumlah kes sporadik ini tidak banyak.

"Justeru, petugas kesihatan awam dan swasta dinasihatkan untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) apabila merawat pesakit penyakit seperti ILI dan SARI.

"Kita tak dapat kesan (punca jangkitan) ialah 69 kes ini. Kita tidak tahu macam mana dia boleh dapat jangkitan Covid-19 terbabit," katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian KKM di Putrajaya, hari ini.

POLIS dan tentera berkawal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Aswadi Alias.
POLIS dan tentera berkawal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Aswadi Alias.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat kes pada mulanya dianggap sporadik tetapi apabila lihat sejarah akhirnya didapati ada kaitan sama ada dengan perhimpunan di Seri Petaling atau gereja dan sebagainya.

Sementara itu, ditanya sama ada jenazah kes Covid-19 boleh dibawa pulang ke tanah air jika kematian berlaku di luar negara, Dr Noor Hisham berkata, waris perlu mematuhi peraturan disediakan KKM bagi urusan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada kematian kes COVID-19 membabitkan warga Malaysia yang meninggal dunia di luar negara.

"Kita tiada lagi kes kematian di luar negara yang (mahu) dibawa balik, tetapi kalau hendak dibawa balik kena ikuti peraturan di KKM mengenai proses dan sebagainya. Setakat ini tiada lagi (kematian warga tempatan di luar negara)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 7:21 PM