Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


MASYARAKAT disaran supaya jujur dalam memberi maklumat sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat dengan mereka yang positif Covid-19 kerana daripada satu kes ia mampu menular atau merebak sehingga kepada 37 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, adalah amat penting supaya masyarakat memberi maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, sejarah perjalanan ke luar negara atau kehadiran ke perhimpunan yang diumumkan KKM sebagai berkait rapat dengan penularan jangkitan Covid-19.

Katanya, sebagai contoh, daripada hasil siasatan yang dijalankan, terdapat satu kluster yang wujud daripada kes indeks positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali (kes ke-1580).

“Setakat ini, daripada kluster tersebut 37 orang sudah disahkan positif Covid-19, di mana terdapat lima kes kematian (iaitu kes ke-1031, kes ke-1032, kes ke-1006, kes ke-2850 dan kes ke-2210), serta kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kluster ini telah membabitkan jangkitan sehingga generasi ke-3,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 180 negara di seluruh dunia terjejas akibat jangkitan Covid-19.

Justeru, katanya, sememangnya terdapat risiko bagi kes-kes luar negara Covid-19 diimport ke dalam negara seterusnya mengakibatkan penularan.

“Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang disediakan.

“Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan iaitu saringan demam dan gejala Covid-19. Ujian pengesanan Covid-19 akan dijalankan dan mereka akan dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin itu.

“Sekiranya ada yang bergejala semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa atau ketika berada di stesen kuarantin, mereka akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya.

Menurutnya, mereka yang baru pulang dari luar negara dan dikesan positif Covid-19 melalui ujian pengesanan sampel yang dijalankan akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan.

Beliau berkata, prosedur itu adalah untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat dan seterusnya membendung wabak virus berkenaan di Malaysia.

“Pada masa sama, rakyat memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu negara memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Pematuhan masyarakat terhadap PKP adalah mustahak dalam mempengaruhi keputusan pelanjutan PKP,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat diminta terus mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.

“Selain itu, diingatkan lagi supaya mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain,” katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 5:17 PM