Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

IBU bersama dua anak ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Merbah, Kampung Sungai Relong, Kamunting, Taiping, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Jazmaniza Man, 35, dan anaknya Mohd Anaz Rizki, 4, serta Nor Aulia Medina Mohd Khairul, 3.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.20 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dibantu BBP Taiping dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba didapati 70 peratus bahagian rumah berkenaan terbakar dan terdapat lima mangsa terperangkap dalam rumah itu.

BOMBA berusaha memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Sungai Relong, Kamunting awal pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM
BOMBA berusaha memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Sungai Relong, Kamunting awal pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas 'C' berkeluasan 549 meter persegi di mana ketiga-tiga mangsa ditemui rentung.

“Suami kepada Jazmaniza parah akibat melecur di belakang badan serta tangannya selain seorang kanak-kanak lelaki cedera ringan pada tangan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ridwan Sudin melakukan pemadaman secara 'offensive' dan api dapat dipadam sepenuhnya pada 4.40 pagi.

Difahamkan,adik lelaki kepada Jazmaniza yang mendiami rumah berkenaan turut cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:57 AM