Norhayati Nordin


MULA memahat bakat seni di persada muzik tanah air pada tahun lalu dengan lagu Perasaan, penyanyi Sheryl Shazwanie kini dilihat agak perlahan mengatur langkahnya.

Biarpun nama belum tenggelam, gadis berusia 23 tahun ini seakan menyepi selepas pembabitannya di pentas Big Stage musim kedua tahun lalu.

Mengakui kurang menonjolkan diri, Sheryl berkata, dia bagaimanapun tidak menghilang kerana sering terbabit dengan lagu ‘cover’ secara duet bersama Ayie Floor 88.

“Untuk lagu solo baharu belum ada lagi. Tapi, lagu ‘cover’ duet dengan Ayie dapat sambutan positif daripada pendengar kerana ‘trending’ di YouTube.

“Saya dan Ayie bekerjasama menghasilkan lagu ‘cover’ untuk Suaramu Syairku nyanyian asal Harry Khalifah dan lagu Bicara Rasa nyanyian asal Ariff Bahran dan Sarah Suhairi.

“Alhamdulillah, nyanyian itu diterima baik dan jika tiada aral, saya akan muncul dengan lagu duet terbaharu berjudul Bicara tidak lama lagi. Namun, lagu itu bukan berduet dengan Ayie, tetapi bersama penyanyi Azzam Sham,” katanya.

Sudah merakamkannya sekitar hujung tahun lalu, Sheryl berkata, dia memilih Azzam kerana lebih sesuai dan sudah saling mengenali.

MUNCUL dengan lagu duet terbaharu berjudul Bicara tidak lama lagi. FOTO Rohanis Shukri
MUNCUL dengan lagu duet terbaharu berjudul Bicara tidak lama lagi. FOTO Rohanis Shukri

“Saya selesa berduet dengan Azzam dan teruja sebenarnya menunggu lagu duet kami dilancarkan. Bagi saya, Azzam ada kualiti vokal yang bagus.

“Cuma di YouTube penonton sering melihat saya berduet dengan Ayie dan kebanyakkannya mahu kami ada lagu bersama. Namun, pada saya Azzam juga pilihan gandingan yang tepat.

“Apapun, diharapkan lagu duet bersama Azzam ini menarik perhatian pendengar. Beri peluang pada lagu kami dan saya yakin karya duet ini mampu menepati cita rasa,” katanya.

Berbicara pengalaman merakamkan lagu duet itu, Sheryl atau nama sebenarnya Sheryl Shazwanie Shamsulbahri berkata, ia memberi cabaran kerana lagu berkenaan mengisahkan putus cinta.

“Ketika di sekolah menengah dulu, saya tidak pernah ada pengalaman bercinta dan putus cinta. Jadi, ia agak sukar pada mulanya untuk dapatkan ‘feel’ lagu itu.

“Bagaimanapun, itu cabaran untuk saya dan akhirnya berjaya juga lagu berkenaan dirakam. Namun, memandangkan kini berlaku penularan wabak Covid -19, saya akur pelancaran lagu perlu ditunda,” katanya.

Menyerahkan segala pengurusan pada syarikat rakaman dinaungi, Sheryl berkata, dia yakin pasti ada perancangan lain yang lebih bagus.

SUKA melihat kejayaan rakan secara positif. FOTO Rohanis Shukri
SUKA melihat kejayaan rakan secara positif. FOTO Rohanis Shukri

Bakat ‘dianaktiri’?

Menyedari beberapa rakan penyanyi lain seperti Ariff Bahran, Sarah Suhairi dan Syafiq Farhain lebih menonjol, Sheryl melihat itu sebagai rezeki masing-masing.

“Tak dinafikan, memang kami dalam syarikat pengurusan sama, namun soal rezeki adalah ketentuan Allah. Bagi saya, sekarang peluang mereka.

“Saya tidak cemburu, apatah lagi berasa bakat dianaktiri syarikat rakaman dan pengurusan. Bagi saya, mungkin waktu ini masih perlu timba pengalaman.

“Memang nampak peningkatan kerjaya nyanyian saya naik perlahan, tetapi masih ada juga peminat yang kenal. Itu sudah membuat saya bersyukur,” katanya.

Enggan terkejar-kejar, Sheryl berkata, dia akan terus berusaha dan mencuba.

Tidak perlu membandingkan diri sendiri dengan orang lain, Sheryl berkata, banyak kelemahan dan kekurangan pada nyanyian perlu diperbaikinya. Justeru, usah berasa sedih melhat kejayaan orang lain.

Menurut Sheryl, dia suka melihat kejayaan rakan secara positif. Katanya, dia hanya mampu menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki mana yang kurang supaya dapat diubah ke arah lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:00 AM