TAN SRI ANNUAR MUSA
TAN SRI ANNUAR MUSA
BERNAMA

KERAJAAN gagasan Perikatan Nasional yang baru dibentuk perlu memastikan mereka tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah, misalnya menggugurkan tuduhan kes berprofil tinggi yang membabitkan anggota parti mereka.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak perlu menghormati sistem peraturan perundangan dan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dengan tidak mencampuradukkan dengan kepentingan politik.

“Walaupun bertukar kerajaan, sistem peraturan perundangan berjalan seperti biasa. Maka sebagai pihak eksekutif tidak boleh campur tangan. Kalau kita hormat konsep itu maka tiada kebimbangan.

“Kalau kita campur tangan dengan menarik balik kes mereka yang didakwa, rakyat kata kerajaan tidak hormati undang-undang dan badan kehakiman tidak bebas, maka jangan sampai konsep itu ternoda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel jemputan bersama Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu Datuk Dr Rais Hussin dalam program Bernama 7.45, terbitan Bernama TV yang bertajuk Hala Tuju dan Cabaran Perdana Menteri ke-8 di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya wujud tuduhan bermotifkan politik yang menyaksikan pemimpin diheret ke mahkamah tanpa bukti dan asbab kukuh, maka ia perlu dihentikan.

Annuar berkata, dalam masa sama terpulang kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada mahu melantik mereka bagi melengkapkan barisan Kabinet mengikut pertimbangan dan kewajaran beliau.

“Kalau lantik atau tidak lantik, jangan hukum, kerana seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Maka saya yakin Perdana Menteri menggunakan kebijaksanaan dan pengalaman politik beliau dalam memilih barisan Kabinetnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada tempat dalam kerajaan Perikatan Nasional untuk mereka yang rasis dan mahu menjadi hero kepada hanya satu bangsa tertentu.

“Meskipun gagasan ini didominasi orang Melayu namun kita tidak seharusnya melihat kebajikan satu kaum sahaja. Kabinet hanya untuk mereka yang menghargai kemajmukan dan sama-sama mainkan peranan.

“Saya pasti Perdana Menteri membariskan wakil rakyat pelbagai kaum di dalam Kabinetnya. Insya-Allah Muhyiddin tidak memilih orang yang mendukung sikap rasis atau cauvinis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 7:00 AM