PRODUK energy candy mengandungi racun berjadual tadalafil yang digunakan untuk merawat penyakit mati pucuk. FOTO ihsan KKM.
PRODUK energy candy mengandungi racun berjadual tadalafil yang digunakan untuk merawat penyakit mati pucuk. FOTO ihsan KKM.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk ‘Energy Candy’ yang tular di laman sosial, baru-baru ini mengandungi racun berjadual tadalafil yang digunakan untuk pesakit mati pucuk.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan daripada penularan produk berkenaan di laman sosial, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) diarah menjalankan pemantauan.

Beliau berkata, hasil analisis makmal, produk Energy Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual dan dilarang penggunaannya dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.

Menurutnya, antara produk lain terbabit adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

“Tadalafil sejenis ubat terkawal digunakan untuk merawat pesakit mengalami masalah mati pucuk dan ia hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

“Penyalahgunaan racun berjadual tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan serta pendengaran selain penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, tular di laman sosial remaja lelaki di Dungun, Terengganu yang dikatakan mengalami komplikasi kesihatan seperti sawan sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas dipercayai memakan produk berkenaan untuk kejohanan merentas desa di sekolahnya.

Beliau berkata, KKM sudah mengeluarkan larangan pengimportan dan memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk itu agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.

Katanya, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli produk berkenaan dan jika sudah dibeli, jangan memakannya selain mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 12:50 PM