FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Skuad Khas Harian Metro


Emas bernilai jutaan ringgit konon dari zaman Kesultanan Melayu Lama menjadi modal sindiket pelaburan haram Self Made Millionaire Group (SMMG) yang dikesan giat mencipta ‘jutawan segera’ dari seluruh negara.

Umpannya cukup mudah, ejen sindiket memaklumkan pengasas skim berkenaan adalah waris kepada harta berkenaan namun tidak memiliki dana cukup membawa pulang harta dikatakan disimpan di England.

Bermodalkan kisah itu, orang ramai ditawar menjadi pelabur bermula dengan modal serendah RM20 bagi mendapat pulangan sehingga RM30 juta.

Bagi meyakinkan pelabur, ejen sebagai orang tengah memaklumkan harta itu diangkat pergi ketika negara dijajah, tetapi selepas ‘tempoh matang’ ia sudah boleh dikembalikan kepada pemilik atau pewarisnya.

Sindiket didalangi seorang lelaki menggunakan status Datuk itu aktif mencari mangsa terbaharu khususnya mereka yang terdesak mendapatkan wang segera dengan modal rendah sejak beberapa tahun lalu.

Bukan itu saja, orang tengah dikenali sebagai ‘ketua’ turut memaklumkan wang bakal diterima hasil pelaburan dari pelbagai sektor di luar negara yang dimiliki pengasas skim SMMG.

Hasilnya, ramai terpengaruh kerana modal ditawarkan cukup rendah manakala hasil yang bakal diterima bernilai puluhan juta ringgit bergantung kepada nilai pelaburan dibuat.

Modus operandi skim SMMG ini cukup licik kerana hanya mewujudkan kumpulan WhatsApp yang ditadbir ketua bagi menarik minat mangsa dengan pelbagai tawaran menarik dengan masa terhad.

Melihat modal permulaan yang rendah, ramai mangsa tanpa lengah bersetuju melabur dengan melakukan pindahan wang kepada akaun individu atau syarikat tertentu yang dimaklumkan oleh ketua.

Ada antara mangsa yang mempunyai modal yang banyak akan melabur kerana berharap pulangan pelaburan itu boleh berlipat ganda seperti yang didakwa.

Tempoh diberikan untuk menerima semula pulangan itu antara beberapa minggu hingga bulan bergantung kepada jenis dan jumlah dana yang bakal diterima.

Namun selepas tempoh dijanjikan, pulangan masih belum diterima, malah ketua mencipta pelbagai alasan melengahkan pembayaran sehingga ada mangsa yang sudah mula sangsi dengan skim berkenaan.

Disebabkan modal rendah, ramai mangsa enggan tampil membuat laporan polis kerana tidak mahu terikat dengan prosedur siasatan sehingga skim berkenaan semakin berani dan menggunakan pelbagai nama untuk terus menarik minat orang ramai.

Bagaimanapun atas kesedaran sendiri, beberapa mangsa membuat laporan polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaburan ini dan ternyata ia hanya penipuan yang berjaya mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 10:00 AM