Ramli Ibrahim


KEUNIKAN masjid diperbuat daripada buluh dikenali ‘Masjid Buluh’ pertama dibina di Kelantan sering menjadi pilihan musafir, terutama pengguna jalan raya yang berhenti untuk menunaikan solat.

Terletak di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran gua batu kapur di Gua Musang, masjid itu memberi keselesaan untuk mereka berhenti rehat, terutama kepada orang ramai yang balik ke kampung pada musim perayaan.

Masjid Buluh dibina pemaju Bandar Utama Gua Musang itu lengkap dengan kemudahan asas dan tempat parkir kereta yang luas, sekali gus menjadi pilihan tepat musafir dalam perjalanan ke destinasi tujuan mereka.

Seorang pengguna jalan raya, Nur Ayuni Ismail, 33, berkata, dia sering menjadikan masjid itu sebagai tempat persinggahan sejak siap dibina lebih setahun lalu.

KEUNIKAN Masjid Buluh di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim
KEUNIKAN Masjid Buluh di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim

Katanya, selain selesa dan terletak di tempat menarik kerana berhampiran gua batu kapur, rekaan unik masjid yang dibuat daripada buluh berkualiti tinggi itu juga menarik tumpuan.

“Setahu saya, masjid yang terkenal dengan Masjid Buluh itu adalah yang pertama dibina di Kelantan dan saya juga mengakui begitu selesa dan tenang untuk menunaikan solat.

“Musim perayaan, termasuk menyambut Tahun Baharu Cina ini juga menjadi tumpuan orang ramai dalam perjalanan pulang ke kampung untuk berhenti rehat bersama keluarga,” katanya ketika ditemui, hari ini.

MASJID Buluh menjadi orang ramai, terutama musafir. FOTO Ramli Ibrahim
MASJID Buluh menjadi orang ramai, terutama musafir. FOTO Ramli Ibrahim

Seorang lagi pengguna jalan raya, Abdullah Hakim, 51, berkata, dia teruja setiap kali menunaikan solat di masjid itu ketika berhenti dalam perjalanan pulang ke kampung.

Katanya, menjelang cuti panjang menyambut Tahun Baharu Cina Sabtu ini, pengguna jalan raya tidak perlu lagi bersesak di masjid bandar baharu Gua Musang.

Sebaliknya, dia berkata, Masjid Buluh ini sebagai pilihan orang ramai untuk berhenti mengerjakan solat, tambahan pula ia dibuka 24 jam dan cukup indah pemandangannya.

“Kita lihat Masjid Buluh ini begitu unik dan menarik apabila binaan sepenuhnya diperbuat daripada buluh dan bertahan lama.

“Alhamdulillah, setiap kali pulang ke Kelantan saya mengambil kesempatan untuk berhenti rehat bersama keluarga sambil menunaikan solat di masjid ini,” katanya.

KESENIAN Masjid Buluh berkualiti tinggi itu hingga menarik kunjungan orang ramai. FOTO Ramli Ibrahim
KESENIAN Masjid Buluh berkualiti tinggi itu hingga menarik kunjungan orang ramai. FOTO Ramli Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 9:00 PM