WILAYAH Harbnoush, Utara Idlib, Syria yang menempatkan pelarian Syria berhadapan  cuaca ekstrem selain peperangan.
WILAYAH Harbnoush, Utara Idlib, Syria yang menempatkan pelarian Syria berhadapan cuaca ekstrem selain peperangan.
Muhaamad Hafis Nawawi


TINGGAL dalam keadaan tidak selesa, kesejukan dan kelaparan. Itu keadaan terpaksa dihadapi pelarian Syria yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah akibat peperangan.

Di kala kita di sini mampu tersenyum dan makan dalam keadaan selesa berlainan pula nasib mereka di sana yang terpaksa menahan kelaparan akibat kekurangan makanan.

Lebih memilukan ketika ini di Idlib, Syria, keadaan bertambah teruk apabila mereka bukan saja berdepan dengan peperangan, malah musim sejuk disusuli hujan menyebabkan nyawa pelarian ini terancam yang mungkin boleh membawa maut.

Difahamkan, lebih tiga juta orang yang mana separuhnya kanak-kanak terperangkap di Idlib akibat peperangan yang belum ada tanda akan reda.

Sementara itu, Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail berkata, antara bantuan terdesak diperlukan ialah selimut, khemah pelarian, ubat-ubatan, makanan, alat pemanas dan baju sejuk.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan kutipan daripada orang ramai sebanyak RM1 juta untuk bantuan musim sejuk dan operasi sekolah anak pelarian Syria kendalian Muslim Care.

“Setakat ini jumlah terkumpul sekitar RM400,000 dan kami memerlukan sebanyak RM600,000 lagi untuk menyalurkan bantuan itu.

“Sehubungan itu, mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan di akaun Muslim Care di Maybank (564490413882), Bank Islam (1401401014740) atau Bank Muamalat (14010007654717),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:15 AM