IMEJ menunjukkan 49 peluru di badan Oscar. FOTO Agensi
IMEJ menunjukkan 49 peluru di badan Oscar. FOTO Agensi
Agensi

MEMILUKAN apabila seekor kucing terselamat terkena tembakan 49 peluru pelet di muka dan badannya di Shropshire, dekat Ludlow.

Daily Mail melaporkan kucing berkenaan dikenali sebagai Oscar dipercayai terkena tembakan itu yang disasarkan untuk burung.

Ia disedari selepas pemiliknya membawa kucing peliharaan ke klinik haiwan selepas mendapati ia tidak tidak berselera makan dan sukar bernafas.

Pemilik kucing itu, Mike Cooke berkata, dia terkejut melihat imej peluru menerusi ujian imbasan sinar-X.

Kira-kira 11 peluru pelet ditemui di muka haiwan itu dengan satu di dalam hidung yang mengganggu keupayaannya untuk makan.

Menurut Cooke, dia yakin Oscar ditembak di kawasan perumahan kerana kucing peliharaannya itu tidak pernah berkeliaran jauh dari rumahnya.

Sementara itu, doktor veterinar mengesahkan Oscar cedera ditembak dengan pistol mengandungi peluru direka khas untuk menembak burung.

Menurut doktor itu, keadaan Oscar beransur pulih selepas dirawat dan pihaknya akan terus memantau bagi melihat perkembangannya.

Sekiranya keadaan bertambah serius terutama di bahagian hidung, pihaknya akan merujuk Oscar kepada doktor pakar untuk mengeluarkan peluru berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:05 AM