KIM Poh mengusahakan bengkel besi kaedah tradisional. FOTO Rosman Shamsudin
KIM Poh mengusahakan bengkel besi kaedah tradisional. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

WALAUPUN kian dimamah usia, dua beradik ini masih bertenaga memerah keringat mengusahakan bengkel besi kaedah tradisional sejak 60 tahun lalu.

Lai Kim Poh, 82, dan Lai See Kiu, 80, belajar menghasilkan alatan besi daripada bapa mereka sejak remaja dan mewarisi bengkel itu selepas ketiadaan orang tua mereka itu.

Alatan besi yang dihasilkan termasuk pisau, parang, sabit, cangkul, kapak, pencakar, pisau menoreh getah, bajak dan pelbagai alatan pertanian.

Kim Poh berkata, membuat alatan yang diperbuat daripada besi menggunakan kaedah tradisional bukan kerja mudah kerana ia memerlukan kemahiran pertukangan tinggi.

Menurutnya, dia masih menggunakan arang kayu untuk memanaskan besi sebelum ia dibentuk menjadi peralatan besi seperti yang ditempah pelanggan.

BENGKEL besi kaedah tradisional di Kampung Baharu, Slim River. FOTO Rosman Shamsudin
BENGKEL besi kaedah tradisional di Kampung Baharu, Slim River. FOTO Rosman Shamsudin

“Kerja ini memang memerlukan tenaga, tetapi saya sudah sebati dengan kehidupan begini.

“Saya gembira melakukan semua ini walaupun kudrat semakin berkurangan.

“Jika dahulu, saya dan adik boleh menghasilkan kira-kira 20 alatan besi setiap hari, kini hanya tiga alatan dapat dibuat kerana faktor usia,” katanya ditemui di bengkelnya di Kampung Baharu, Slim River.

Walaupun bengkel itu nampak tidak tersusun, ada pelbagai alatan besi yang dihasilkan mengikut jenis untuk memudahkan pelanggan memilih dan membuat tempahan.

Pintu dan dinding kayu di bahagian depan bengkel masih digunakan lagi menjadikan bengkel itu cukup klasik dan mengimbau kembali nostalgia lama dalam bidang pertukangan besi zaman dahulu.

SEE Kiu membelah arang kayu. FOTO Rosman Shamsudin
SEE Kiu membelah arang kayu. FOTO Rosman Shamsudin

Sementara itu, See Kiu berkata, golongan muda kini tidak suka terbabit dalam bidang pertukangan besi kerana lebih gemar makan gaji daripada bekerja sendiri.

“Lebih-lebih lagi kerja ini berdepan dengan bahang ketika membakar besi selain habuk. Ia membuatkan kerja ini kurang diminati golongan muda.

“Andainya kami berdua meninggal dunia, tiada lagi generasi pewaris daripada keturunan kami yang meneruskan kerja sebagai tukang besi.

“Apa boleh buat kerana anak tidak berminat dalam bidang ini dan sebagai bapa, saya akur dengan kerjaya yang anak ceburi demi masa depan mereka,” katanya.

ANTARA peralatan besi yang dihasilkan. FOTO Rosman Shamsudin
ANTARA peralatan besi yang dihasilkan. FOTO Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 7:00 AM