Sudirman Mohd Tahir


VIDEO muzik lagu Takdir Tercipta nyanyian Hafiz Suip dan Adira menjadi bualan ramai selepas dilancarkan Rabu minggu lalu.

Mengisahkan perjalanan sepasang kekasih yang akhirnya memilih untuk bersama orang lain menjadi tema penceritaan video muzik arahan Bobong Latif itu.

Ada beranggapan ia perjalanan kisah cinta Hafiz dan Adira yang pernah hangat diperkatakan suatu ketika dahulu.

Menurut Hafiz, sebelum menghasilkan video muzik itu dia terlebih dahulu meminta izin isteri dan keluarga.

“Memang betul, video muzik ini idea dan karya asal saya. Selepas berbincang dan atas persetujuan semua pihak, terhasillah karya ini. Alhamdulillah, ia menjadi bualan orang.

“Paling penting, saya turut mendapatkan keizinan daripada isteri dan keluarga. Mereka kena tahu apa yang saya ingin buat. Tidak mahu nanti timbul isu kemudian hari.

“Saya bersyukur kerana mereka sangat memahami dan mempercayai saya. Lagipun, mereka tahu ini sebahagian daripada kerjaya saya. Jadi, perlu bersikap profesional,” katanya.

Meskipun idea dan karya asal video muzik itu datang daripada Hafiz, ia hanyalah rekaan dan untuk hiburan semata-mata.

“Jalan cerita yang dipaparkan adalah hiburan semata-mata. Tidak ada kaitan dengan kisah lama kami. Sudah namanya dalam industri hiburan, jadi kena ada unsur hiburan. Kalau tidak, ia akan hambar.

“Apabila video muzik ini terhasil, sedikit sebanyak ia menonjolkan kreativiti saya dalam penghasilan idea. Malah, dalam beberapa video muzik lagu saya sebelum ini pun ideanya datang daripada saya.

“Apa saja persepsi yang diberikan terhadap video muzik ini, itu hak masing-masing. Peminat boleh menilai. Biarkan ia menjadi polemik dan bahan bualan semua,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi isterinya selepas video muzik berkenaan dilancarkan, Hafiz yang sebelum ini menampilkan belahan jiwanya itu dalam video muzik Kisah Cinta Kita berkata semuanya baik-baik saja.

“Dari awal lagi dia tahu jalan cerita video muzik ini. Dia okey asal saja saya tahu menjaga batas.

“Malah, dalam video muzik ini pun tiada babak bersentuhan dengan Adira. Saya fikir, apa yang penting adalah faham status masing-masing. Ada perkara boleh buat dan tidak,” katanya.

Menurut Hafiz, dia memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pasukan produksi Nova Music biarpun mereka masih baharu dalam bidang penerbitan dan pengarahan video muzik.

“Video muzik ini dirakam bulan lalu. Ia menggunakan tenaga kerja sepenuhnya Nova Music. Saya beranikan diri dan percaya dengan kreativiti mereka. Saya hanya memberikan idea dan selebihnya mereka buat,” katanya yang mempunyai perancangan untuk mengarahkan video muzik sendiri.

VIDEO muzik lagu Takdir Tercipta tonjol kreativiti Hafiz.
VIDEO muzik lagu Takdir Tercipta tonjol kreativiti Hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:00 AM