DUA wanita mendedahkan punca penceraian mereka akibat suami ketagih media sosial kepada wartawan Harian Metro.
DUA wanita mendedahkan punca penceraian mereka akibat suami ketagih media sosial kepada wartawan Harian Metro.
Oleh Ibrahim Isa dan Mahaizura Abd Malik


Ketagih media sosial dikenal pasti antara 10 punca utama masalah rumah tangga dan perceraian di negara ini.

Faktor lain termasuk kurang penghayatan agama seperti mengabaikan kewajipan agama, menghalang pasangan menunaikan perintah agama, campur tangan pihak ketiga, boros, kedekut, homoseksual, dera, penagihan dadah dan masalah komunikasi.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, turut diterima adalah aduan berkaitan pasangan tidak bertanggungjawab, perbezaan latar belakang adat dan budaya serta masalah ekonomi, kerjaya dan kesihatan seperti kemurungan, gangguan mental, sakit kronik dan sebagainya.

“Perkembangan teknologi dan media sosial menyebabkan berlaku pengabaian tanggungjawab contohnya ketagihan bermain permainan video, menggunakan aplikasi WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya secara berlebihan akan menyebabkan pasangan mengabaikan tanggungjawab hingga berlaku masalah komunikasi antara pasangan.

“Bagi memastikan kursus ini sentiasa relevan dengan keperluan semasa, Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sentiasa menambah baik MBKPI berdasarkan cabaran terkini selain meningkatkan kemahiran dan kepakaran penceramah.

“Justeru, modul yang dilancarkan pada awal tahun lalu dimasukkan dengan maklumat terkini serta penambahbaikan beberapa tajuk seperti Komunikasi Suami Isteri yang lebih menekankan interaksi berkesan antara suami isteri, komunikasi verbal dan non verbal untuk dijadikan panduan peserta kursus,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, Unit Rundingcara Keluarga yang diwujudkan di setiap Jain dan Pejabat Agama Islam Daerah sentiasa terbuka memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan kaunseling kepada pasangan memerlukan.

Katanya, Pusat Khidmat Keluarga Sosial dan Komuniti (PKKSK) turut dijadikan sebagai pusat sehenti kepada masyarakat yang memerlukan khidmat nasihat dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Pusat ini tidak hanya bagi rujukan masalah rumah tangga, malah ia merangkumi pemahaman akidah, ibadah, akhlak, pendidikan anak, kejiranan, ibu hamil, warga emas, masalah sosial seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), HIV, ketagihan alkohol, dadah dan sebagainya.

“Malah, dari semasa ke semasa kita juga sentiasa mengadakan seminar berkaitan untuk memberi kefahaman dan panduan dalam pengurusan rumah tangga bahagia termasuk teknik mendidik anak-anak cara Islam,” katanya.

Menurutnya, Jakim akan menambah baik elemen Komunikasi Suami Isteri dalam Modul Bersepadu Kursus Pra perkahwinan Islam (MBKPI) bagi memastikan modul yang diguna pakai terus relevan dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.

“Penambahbaikan itu dilakukan berdasarkan cabaran semasa serta mengambil kira pandangan dan penilaian peserta untuk dijadikan panduan kehidupan berumah tangga selain mengurangkan masalah dalam kalangan pasangan suami isteri,” katanya.

Menurutnya, komunikasi yang berkesan antara pasangan, ibu bapa dan anak-anak berperanan penting dalam membantu mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni.

Berdasarkan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian 2018 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan perceraian direkodkan pada 2017 adalah 49,965 dengan peratusan tertinggi bercerai dalam kumpulan usia 30 hingga 34 tahun.

Daripada jumlah itu kes perceraian Islam mencatatkan angka tertinggi sebanyak 39,709 berbanding 10,256 individu bukan Islam.

Selangor mencatatkan kes perceraian tertinggi bagi orang bukan Islam diikuti Johor dan Kedah.

Manakala kes perceraian tertinggi bagi orang bukan Islam mengikut negeri adalah Selangor diikuti Johor dan Perak.

Ibarat ‘bermadu’ dengan telefon pintar

“Saya ibarat isteri pertama manakala ‘madu’ saya adalah telefon pintar dia (suami),” kata seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Normah.

Menurut Normah, 45, kemelut rumah tangga dihadapinya bermula selepas kira-kira 14 tahun berkahwin apabila tumpuan suaminya beralih arah.

“Kami mempunyai tiga anak berusia lima hingga 16 tahun dan kebanyakan urusan rumah tangga diletakkan pada bahu saya walaupun saya dibebani tugas sebagai kakitangan awam.

“Ketika anak-anak masih kecil, dia banyak membantu menguruskan anak-anak selain menolong menghantar dan mengambil mereka di rumah pengasuh,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Namun, kata Normah, sikap suaminya berubah apabila dia mula mempunyai akaun Facebook (FB), Twitter, Instagram dan berpuluh kumpulan WhatsApp.

“Apa yang saya tahu dia adalah ahli aktif kumpulan WhatsApp alumni sekolah, alumni universiti, rakan-rakan sekerja di kementerian, geng bola dan motosikal berkuasa tinggi.

“Ini belum lagi kumpulan WhatsApp ‘rahsia’ yang berbincang soal dunia lelaki gatal. Semua itu dalam ‘radar’ saya selepas pernah bertanyakan kawan baiknya yang juga bekas rakan kuliah saya,” katanya.

Dia berkata, tumpuan suaminya pada keluarga mula terhakis apabila dia lebih berminat melayan mesej media sosial di telefon pintar.

“Mulanya saya malas ambil kisah namun keadaan jadi makin teruk apabila dia seolah-olah kemaruk pada media sosial.

“Dia langsung tidak boleh berenggang dengan telefon pintar sama ada ketika sedang makan, berehat atau tidur.

Saya bukan cemburu, tapi bengang apabila hal anak-anak terabai malah dia seolah-olah malas melayan kami ketika di rumah,” katanya.

Dia berkata, komunikasi yang kurang selama hampir setahun akhirnya mencetuskan bibit-bibit pergaduhan sebelum berakhir dengan lafaz talak.

“Kemelut kami diburukkan lagi dengan isu ‘orang ketiga’ selain hilangnya rasa cinta antara kami,” katanya.

Johor Bahru: Bukan hanya pasangan Islam malah berlaku peningkatan kes perceraian di kalangan pasangan bukan Islam berpunca terlalu sibuk melayan rakan di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung berkata, faktor peceraian terbaru itu dikesan selain berpunca masalah kewangan, campur tangan mentua dan curang.

Katanya, mengikut data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, bilangan pasangan bukan Islam yang mendaftarkan perceraian dilihat meningkat setiap tahun sejak 2014 hingga 24 Jun lalu.

“Sepanjang 2014, sebanyak 1,750 kes didaftarkan, 2015 (1,765), 2016 (1,973), 2017 (1,749), 2018 (2,016) dan sehingga 24 Jun lalu 438 kes dilaporkan dengan jumlah keseluruhan 9,691 kes penceraian.

“Ia adalah trend membimbangkan dan Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor bagi menangani masalah itu.

“Dengan terhasilnya Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor ini, kami mencadangkan setiap pasangan bukan Islam menghadiri dan mendapatkan sijil pra-perkahwinan, sejajar matlamat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membentuk masyarakat sejahtera melalui perkongsian tanggungjawab strategik dan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial cekap dan berkesan,” katanya ketika merasmikan Seminar Kebangsaan Keluarga Sejahtera Johor di sini, semalam.

Menurutnya, program ini satu daripada langkah bijak yang perlu diambil jabatan kerajaan, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kerajaan menangani masalah rumahtangga yang semakin meruncing di Malaysia.

Katanya, pelbagai pendekatan perlu diketengahkan supaya isu kekeluargaan sentiasa dititikberatkan masyarakat dalam usaha menyedarkan seluruh rakyat negeri ini keharmonian dan ketidakharmonian keluarga memainkan peranan penting serta memberi kesan kepada setiap ahli keluarga.

Isu berkaitan keluarga, katanya, adalah tanggungjawab bersama dan tidak sepatutnya dibebankan kepada kerajaan semata-mata sebaliknya setiap masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing.

“Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (2007), masyarakat dilanda pelbagai masalah seperti perceraian, penderaan kanak-kanak, pembunuhan kejam dalam keluarga, keganasan rumah tangga dan kes-kes juvana sebenarnya menggambarkan sesebuah keluarga mempunyai masalah tersendiri.

“Ukuran ini menjadi petanda bahawa kesejahteraan dalam sesebuah keluarga adalah sangat kompleks dan memerlukan perhatian semua ahli keluarga. Kesemua ini membuka ruang kebaikan sekiranya ahli keluarga melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan mempengaruhi fungsi sesebuah keluarga.

“Malah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menyediakan perkhidmatan kaunseling dan rundingcara secara percuma kepada mereka yang memerlukan dan sehingga 25 September lalu, YPKDT menerima sebanyak 93 kes yang memerlukan khidmat kaunseling dengan 61 daripadanya membabitkan isu perkahwinan,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu sebanyak 116 kes diterima dengan 76 kes membabitkan pasangan berdepan masalah perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 9:00 AM