KUGIRAN Masdo. FOTO HAlimaton Saadiah Sulaiman
KUGIRAN Masdo. FOTO HAlimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina

KETIKA kebanyakan penyanyi tampil mempertaruhkan lagu balada, Kugiran Masdo lebih selesa mempertaruhkan rentak muzik pop berasaskan 1960-an sekali gus menjadikan mereka unik dan tersendiri.

Baru-baru ini, kumpulan dianggotai Ali (penyanyi, gitar), Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/penyanyi) dan Asmawi (gitar/penyanyi) berjaya menarik kira-kira 3,000 penonton dalam konsert mini di Universiti Malaya, Kuala Lumpur sempena program Semarak Merdeka Night Run 2019.

Dalam persembahan itu, mereka membawakan 10 lagu antaranya Dewi Puspita, Inilah Barisan Kita, Bunga, Nearly Near You, Malam Pesta Muda Mudi dan Dinda.

Ali ketika ditemui berkata, mereka sangat bangga dan terharu kerana diberi kepercayaan untuk bersama-sama menyemaikan semangat cintakan negara dalam diri anak muda.

“Bagi kami, Hari Kemerdekaan bukan saja bermakna negara bebas daripada penjajah tetapi mentaliti rakyat juga haruslah merdeka dengan sentiasa berfikiran positif. Kita juga perlu sentiasa bersatu padu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik pada masa hadapan.

“Kami tidaklah terkenal seperti selebriti lain tetapi dengan sedikit populariti yang diraih, kami ingin gunakan kesempatan ini untuk menunjukkan contoh baik kepada semua bangsa dan agama.

“Insya-Allah, kami juga turut serta memeriahkan acara yang dilakukan pelbagai pihak dalam menyemarakkan lagi semangat cintakan negara,” katanya.

Walaupun ada segelintir individu yang memandang enteng pada anak seni, hakikatnya setiap warganegara mempunyai tanggungjawab bagi menjaga keamanan seterusnya menjaga Malaysia.

Bagi Kugiran Masdo pula, cara mereka menerusi penulisan lagu berkaitan kemerdekaan serta rasa cinta pada negara. Ia juga salah satu cara menyuntik mesej berkenaan dalam diri anak muda.

Golongan dewasa harus menyemai semangat patriotisme dalam kalangan anak muda sejak mereka masih kecil. Apabila semangat itu ada dalam diri, Malaysia akan lebih harmoni dan tidak timbul isu negatif yang mampu memecah-belahkan rakyat.

KUGIRAN Masdo tetap menghiburkan. FOTO Hafiz Sohaimi
KUGIRAN Masdo tetap menghiburkan. FOTO Hafiz Sohaimi

“Tanggungjawab menjaga keharmonian negara terletak di bahu setiap warganegara. Tidak perlu menjadi wakil negara dalam sesebuah pertandingan di luar negara untuk memartabatkan nama Malaysia.

“Perkara itu kita boleh lakukan tanpa perlu berada di negara lain pun. Antara caranya adalah melayan pelancong dengan baik. Dengan menunjukkan adab baik mungkin menjadi faktor orang luar datang untuk lebih mengenali Malaysia,” katanya.

Ditubuhkan sejak 2015, nama Kugiran Masdo mulai menjadi sebutan menerusi lagu Bunga.

Bermula detik itulah kerjaya kumpulan berkenaan semakin berkembang dan terus memeriahkan industri muzik tanah air.

Bukan mengejar populariti mahupun memburu anugerah, Kugiran Masdo berkarya atas rasa cinta mereka pada bidang muzik. Mereka harap lebih ramai yang melihat bakat ditunjukkan.

“Kami tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang anugerah. Tapi, sekiranya suatu hari nanti Kugiran Masdo menjulang anugerah, kami jadikan ia sebagai pendorong untuk terus menjadi lebih baik pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, kalau tidak menang anugerah pun kami tetap akan hasilkan lagu berkualiti. Buat masa ini, kami dalam perancangan untuk lancarkan album kedua yang dirakamkan di Studio Abbey Road di London,” katanya yang bakal muncul dengan lagu baru berjudul Kasih & Sayang.

Studio Abbey Road adalah studio rakaman terkenal di dunia dan kumpulan legenda seperti The Beatles dan Pink Floyd pernah merakamkan album di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:01 AM