IZHAM dan Siti Aisyah di hari pernikahan mereka, 5 September lalu. FOTO NASH PHOTOGRAPHY
IZHAM dan Siti Aisyah di hari pernikahan mereka, 5 September lalu. FOTO NASH PHOTOGRAPHY
Amirul Haswendy Ashari.


“KAMI bertemu dua tahun lalu di pusat beli-belah. Sejak itu, kami selalu berjumpa dan mulai jatuh hati,” kongsi pesara kerajaan, Izham Jamalulil Md Zain, 74, yang memilih Siti Aisyah Rosalind, 67, sebagai isteri pada 5 September lalu.

Kisah Izham dan Siti Aisyah tular apabila pasangan itu yang masing-masing mempunyai anak dan cucu, memilih untuk berkahwin bagi menghabiskan sisa hidup bersama-sama.

Izham kematian isteri pada 2005, mempunyai dua anak lelaki dan seorang cucu manakala Siti Aisyah pula berpisah dengan suami pada 1993 dan memeluk Islam tahun sama serta dua anak dan tiga cucu.

Bekas jurukamera Istana Negara yang pernah berkhidmat untuk Yang di-Pertuan Agong ke-14, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah itu berkata, berkata sifat lemah lembut dan minat pada muzik menjadi sebab dia memilih Siti Aisyah.

“Sejak kematian isteri pada 2005 dan seorang lagi anak beberapa tahun kemudian, saya rasa sunyi duduk di rumah.

“Seorang lagi anak bekerja dan memiliki kehidupan berkeluarga, jadi saya terfikir kena cari seorang isteri untuk mengisi kekosongan.

“Sehinggalah saya bertemu Siti Aisyah dan kami berkongsi minat sama iaitu muzik dan suka jalan-jalan," kata Izham.

IZHAM dan Siti Aisyah bersama keluarga mereka.
IZHAM dan Siti Aisyah bersama keluarga mereka.

Izham berkata, anaknya menyokong kerana faham keadaan bapanya yang hidup sendirian.

Apatah lagi, anaknya pernah menyuarakan kerisauan siapa akan menjaga bapanya sekiranya dia tiada di sisi.

Manakala bagi Siti Aisyah, selepas berpisah dengan suami dan kemudian memeluk Islam bersama seorang anak perempuannya, dia sememangnya mencari suami yang beragama Islam dan boleh membimbingnya.

Wanita berasal dari Sarawak itu mengakui Izham adalah suami yang memiliki sifat baik dan mempunyai latar belakang agama kukuh.

“Pada awal, anak ada bertanya kenapa nak kahwin pada usia ini. Bagi saya usia ini, kami lebih kepada mencari teman berbual, berjenaka dan bukan soal seks.

“Kami berkahwin sebab mahu menghabiskan hayat bersama-sama. Malah sejak sebelum berkahwin, saya sering mengikut suami membuat persembahan.

“Selalunya dia akan main muzik dan saya menyanyi,” kata Siti Aisyah.

Izham dan Siti Aisyah mengakui sebelum ini saudara mara dan rakan pernah cuba memperkenalkan mereka dengan orang lain.

Menurut Izham, kebanyakan wanita diperkenalkan kepadanya disifatkan tiada 'ting' yang membuatkan dia mahu berkahwin manakala bagi Siti Aisyah pula, kebanyakan lelaki diperkenalkan kepadanya pula tidak mendapat persetujuan anak.

Izham berkata, mereka menguruskan sendiri persediaan ketika perkahwinan dan segalanya dibuat ringkas tanpa pelamin, tetapi masih ada elemen muzik.

“Cuma dugaannya, saya ambil masa hampir sebulan untuk selesaikan isu dokumentasi sebab isteri mualaf dan pernah bercerai.

“Saya nak kena cari wali hakim, surat pengesahan cerai, saksi. Banyak borang nak kena isu, memang ambil masa lama.

“Sampaikan saya terfikir, sepatutnya urusan pernikahan itu dipermudahkan," katanya.

Bagaimanapun, Izham dan Siti Aisyah berharap warga emas yang hidup bersendirian supaya berkahwin agar ada yang boleh menjaga antara satu sama lain.

Izham turut menasihati anak supaya faham dan perlu menyokong keputusan ibu bapa mereka yang ingin berkahwin pada usia emas.

“Ia soal hati dan perasaan. Semua orang ada perasaan itu. Mesti akan rasa sunyi dan mahukan peneman, tak kiralah sudah tua atau sakit,” katanya.

Pasangan itu merancang mahu berbulan madu dengan melawat saudara mara di Kedah, Terengganu, Johor dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 9:34 PM