Pasukan penyelamat berbincang mengenai operasi membawa keluar pendaki yang terkandas di Sungai Tuman Batak, Behrang. Foto Ihsan PDRM
Pasukan penyelamat berbincang mengenai operasi membawa keluar pendaki yang terkandas di Sungai Tuman Batak, Behrang. Foto Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin

Tiga puluh tujuh pendaki yang melakukan pendakian di Gunung Liang dekat Behrang terkandas dan gagal menyeberangi sungai disebabkan arus deras kerana hujan lebat melanda di Sungai Tuman Batak hari ini.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku ketika dua kumpulan pendaki berasingan itu sedang turun dari gunung terbabit sebelum terperangkap di seberang sungai berkenaan.

Sehingga jam 10.20 malam, operasi menyelamat masih dijalankan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim bersama polis dari Balai Polis Behrang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pendaki berkenaan membabitkan 25 lelaki serta 12 wanita dan sehingga kini seramai 13 sudah berjaya diselamatkan.

Menurutnya, operasi menyelamat membabitkan seramai 24 anggota bomba dan 10 polis serta tujuh APM sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu.

“Operasi menyelamat pendaki itu masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.15 petang sebelum sepasukan anggota dari BBP Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba mendapati terdapat kumpulan pendaki yang terkandas sebelum operasi menyelamat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 10:57 PM