CIK Manggis, Azira dan Sophia akan mempersembahkan lagu baharu pada pentas ABPBH ke-32. FOTO Nurul Shafina Jemenon
CIK Manggis, Azira dan Sophia akan mempersembahkan lagu baharu pada pentas ABPBH ke-32. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Selepas dua tahun tidak menghasilkan single, trio wanita jelita De Fam akhirnya memenuhi permintaan peminat apabila bakal muncul dengan single keempat tidak lama lagi.

Masih mengekalkan genre pop, lagu baharu itu akan dilancarkan pada 30 September ini yang diakui memiliki banyak kelainan.

Anggotanya, Azira Shafinaz Ramlan, 28, berkata, peminat tidak perlu menunggu lama kerana lagu itu akan dipersembahkan secara langsung menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September ini.

“Lagu ini sememangnya bernafas baharu dan dinanti-nantikan peminat.

“Ia khas buat mereka yang banyak memberikan sokongan,” katanya yang juga pelakon drama popular.

De Fam sebelum ini memiliki tiga single iaitu #Supergirls dan With You yang dihasilkan pada 2015 dan Bila Ada Kamu pada 2017.

Selain Azira, De Fam turut dianggotai Sophia, 29, dan Cik Manggis, 30, yang bertindak sebagai penyanyi rap.

Mengikut perancangan, De Fam yang pernah merangkul Anugerah Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik ke-22 mahu memiliki album tahun depan.

“Ia perancangan kami biarpun ketika ini sibuk menjayakan persembahan korporat.

“Dalam perancangan lain, kami mahu menembusi pasaran Indonesia,” kata Azira.

Bagi tujuan itu, anak jati Kuala Lumpur itu berkata, mereka melakukan banyak persediaan termasuk menghasilkan lebih banyak lagu berkualiti.

“Sebaik misi itu berjaya, kami mahu menembusi pasaran antarabangsa pula,” katanya.

Pernah menyanyikan lagu Bunga nyanyian asal Altimet di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33), 3 Februari lalu, De Fam sekali lagi mahu beraksi di pentas itu atas usaha sendiri.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin bagi melayakkan diri ke AJL. Apa yang penting adalah lagu itu nyanyian kami bukan milik penyanyi lain,” katanya.

De Fam teruskan legasi Freshies, Feminin dan Elite

Sophia mengakui De Fam berdepan kesukaran dalam menghasilkan lagu sendiri tanpa memberi penjelasan.

Anak jati Ipoh, Perak itu berkata, mereka kini meniti kematangan selepas melalui pelbagai cabaran dalam industri muzik tanah air.

Dalam masa sama, mereka mempertahankan genre pop dan tarian yang dipersembahkan sejak 2015.

SOPHIA pertahan genre pop dipersembahkan De Fam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SOPHIA pertahan genre pop dipersembahkan De Fam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Jika diamati, De Fam satu-satunya kumpulan wanita pada dekad ini memiliki seorang penyanyi dan dua penyanyi rap.

“Kami meneruskan legasi yang diwarnai kumpulan ikonik seperti Feminin, Elite dan Freshies,” katanya.

Sophia berkata, genre itu akan dikekalkan dalam tempoh yang panjang kerana ia identiti mereka sendiri.

“Untuk mencuba sesuatu yang baharu, genre balada mungkin menjadi pilihan.

“Bagaimanapun, untuk mengubahnya dalam masa terdekat tidak akan dilakukan,” jelasnya.

Azira tampil dengan filem pertama

Azira yang turut aktif sebagai pelakon berkata, dia akan membintangi filem pertamanya dengan memegang watak pelakon pembantu.

Katanya, penggambaran filem itu akan dijalankan di Kuala Lumpur dan Sabah, November depan dan ia bakal menjadi sebuah filem yang mengubah warna industri perfileman negara.

AZIRA mahu lebih banyak lagu bagi menembusi pasaran Indonesia. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
AZIRA mahu lebih banyak lagu bagi menembusi pasaran Indonesia. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Selain nyanyian, saya mahu melebarkan bakat dalam lakonan dan bagi Sophia, dia lebih memberi fokus pada nyanyian,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan cintanya, Azira bersyukur kerana sudah berbaik semula dengan teman lelaki, Yasser Khan dan hubungan itu diteruskan.

“Kami masih berkawan baik namun belum ada perancangan ke peringkat lebih serius.

“Jika ada jodoh, kami akan mengumumkan tarikh perkahwinan kepada semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:01 AM