MUNIF bersama anggota NGO dan kanak-kanak Palestin.
MUNIF bersama anggota NGO dan kanak-kanak Palestin.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KONFLIK di Palestin dan Syria yang menjadi tumpuan masyarakat dunia turut dipandang serius artis tanah air. Walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing, mereka tetap berkesempatan menyertai misi kemanusiaan bagi membantu mangsa peperangan di sana.

Berkongsi pengalamannya, anggota kumpulan nasyid Hijjaz, Munif Ahmad, 45 berkata, dia pertama kali menjejakkan kaki di bumi Gaza, Palestin pada 2013.

“Hijjaz yang ditubuhkan pada 1997 sudah mengadakan banyak persembahan termasuk di Indonesia, Thailand, Australia dan United Kingdom. Selama 16 tahun berdakwah melalui nasyid, saya dapati perjuangan kami masih kosong,” katanya.

MIZZ Nina membantu mengisi nasi ke dalam bekas buat pelarian Syria.
MIZZ Nina membantu mengisi nasi ke dalam bekas buat pelarian Syria.

Disebabkan itu mereka menjadikan Gaza sebagai destinasi misi kemanusiaan pertama bagi melihat sendiri penderitaan ditanggung rakyat Palestin pada 2013.

“Sebaik tiba, kami dapati kanak-kanak di sana serba kekurangan. Walaupun diberi tekanan, segala kesulitan tidak kelihatan di raut wajah mereka,” katanya.

Munif berkata, kanak-kanak di Gaza tidak meminta-minta malah buah tangan yang diberi diambil sekadar untuk diri sendiri, kerana mereka tahu lebih ramai memerlukan.

“Tersentuh hati saya melihat kemuliaan akhlak mereka. Pengalaman tujuh hari di Gaza cukup menginsafkan kerana kehidupan mereka lebih sukar berbanding rakyat negara ini,” katanya.

Menurutnya, Palestin yang diberi tekanan ekonomi, politik dan sosial oleh Israel dan sekutu sejak 1948 menjadikan rakyatnya daif, namun mereka sentiasa tersenyum.

Menyertai misi itu bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Munif menyaksikan kekejaman dilakukan tentera Zionis.

“Saya amat mengagumi kemuliaan masyarakat Palestin yang menyantuni tetamu. Pada dinding kediaman mereka, tertulis perkataan ‘dhuyuf kiram’ yang bermaksud bersedia menerima tetamu dalam apa jua keadaan,” katanya.

Menurut Munif, selain menyampaikan bantuan makanan mereka berjalan di bandar Gaza dan menyaksikan bekas runtuhan bangunan akibat serangan berterusan tentera Zionis.

Dalam pada itu, penyanyi rap popular, Altimet, 40, berkata, dia merasai pengalaman berharga apabila menyertai misi kemanusiaan bagi membantu pelarian Syria di Turki dan Lubnan pada Mei lalu.

Altimet menyertai misi itu 12 hari selepas dipelawa Cinta Syria Malaysia (CSM) bagi menyampaikan sumbangan rakyat negara ini.

“Apabila diundang, saya tidak berfikir panjang dan bersetuju pergi ke sana. Sewaktu berada di kem pelarian, saya berpeluang menyelami kesusahan mereka,” katanya.

Dia yang popular menerusi lagu Amboi bertemu seorang kanak-kanak lelaki yang tiada kecederaan fizikal, tetapi trauma dan tidak boleh mendengar bunyi helikopter.

“Kanak-kanak ini kerap menangis menyebabkannya menjadi buta. Bagi saya, konflik yang berlaku di negara bergolak ini disebabkan masalah politik yang bertopengkan agama dan kenegaraan,” katanya.

Sementara itu, Noh Hujan turut berkongsi pengalaman apabila membantu pelarian Syria di Jordan pada 2015 bersama isterinya, Mizz Nina dan rakan selebriti, Faizal Tahir, Aizat Amdan dan Muaz.

Katanya, misi itu pada mulanya disertai kerana ‘paksaan’ namun sebaik berada di negara bergolak pengalaman itu menginsafkannya.

“Ketika berada di Jordan, saya mendapati kumpulan pemberontak begitu ekstrem apabila menembak kepala kanak-kanak kecil. Kesusahan yang ditanggung mereka akhirnya menyedarkan saya,” katanya.

Menurut Noh, dia kemudian menyertai CSM dan setakat ini menjalankan empat misi kemanusiaan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu.

“Bermula tahun lalu, kami memasuki Syria melalui Turki dan menyampaikan dana bagi pembinaan sekolah serta pusat rawatan. Biarpun bergelar selebriti, kami juga mempunyai tanggungjawab buat rakan seagama,” katanya.

MIZZ Nina, Noh dan Altimet bersama sukarelawan Cinta Syria Malaysia ketika misi kemanusiaan di Syria.
MIZZ Nina, Noh dan Altimet bersama sukarelawan Cinta Syria Malaysia ketika misi kemanusiaan di Syria.

Menurutnya, dia juga berpengalaman hampir dibom ketika melalui sempadan antara Turki dan Syria bersama isterinya.

“Saya melalui pengalaman dan melihat sendiri bagaimana militan Kurdish mengebom motosikal. Sesungguhnya peperangan yang berlaku di Syria dan Palestin sudah tertulis dan ia ujian buat umat Islam sama ada mahu membantu atau melihat saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:20 AM