ANGGOTA bomba menjalankan operasi SAR dua beradik yang dikhuatiri lepas ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba menjalankan operasi SAR dua beradik yang dikhuatiri lepas ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Samadi Ahmad


DUA beradik dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, dekat Sepang, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa, Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, dan abangnya, Muhammad Hafiz, 14, mandi di muara itu bersama empat yang lain.

Difahamkan, empat kanak-kanak lain yang terselamat ialah dua lagi adik beradik mangsa serta sepupu mereka.

Dua adik mangsa yang selamat ialah Muhammad Al Hakim, 9, dan Muhammad Alif Haikal, 7; manakala dua sepupu mereka ialah Muhammad Ferdaus Rizwan Mohd Khairilnizam, 11, dan adiknya, Muhammad Luqman, 7.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang, Azrul Faizal Maarif ketika dihubungi berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir sewaktu mandi di sungai berkenaan lalu dibawa arus dan ketika itu air mula pasang.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.37 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

“Lapan anggota bomba kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk menggunakan dua bot.

“Operasi mencari dijalankan di sepanjang Sungai Sepang dan sekiranya tidak ditemui, operasi akan ditangguhkan pada 8 malam sebelum disambung semula pada 7 pagi esok,” katanya.

Azrul Faizal berkata, operasi SAR turut membabitkan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 7:10 PM