KANAK-KANAK dari Asrama Tahfiz Anak Yatim/ Miskin Amal Nur Qaseh Kamunting melakukan persembahan qasidah di Bazar Cross Street. FOTO Zulsyamini Sufian Suri
KANAK-KANAK dari Asrama Tahfiz Anak Yatim/ Miskin Amal Nur Qaseh Kamunting melakukan persembahan qasidah di Bazar Cross Street. FOTO Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KEHIDUPAN tanpa kasih sayang keluarga tidak melenturkan semangat 25 kanak-kanak dari Asrama Tahfiz Anak Yatim/ Miskin Amal Nur Qaseh Kamunting, Taiping, melakukan persembahan qasidah berkonsepkan muzik jalanan atau busker di Bazar Cross Street.

Semangat mereka mengalunkan puji-pujian serta luahan berunsur kerohanian itu menarik tumpuan pengunjung berbilang kaum yang mengunjungi bazar berkenaan di mana ia kebiasaannya dibuka bermula jam 6 petang setiap hujung minggu.

Selain melakukan kutipan melalui tabung yang diletakkan sewaktu persembahan, jualan amal turut dilakukan membabitkan barangan khususnya pakaian terpakai sumbangan orang ramai dengan harga serendah RM5 sehelai.

Pendekatan itu cetusan idea Persatuan Sukarelawan Harapan Larut Matang dan Selama (PSHLMS) sebagai satu usaha mengumpul dana bagi membantu asrama tahfiz berkenaan.

PENGUNJUNG tertarik dengan persembahan daripada Kanak-kanak dari Asrama Tahfiz Anak Yatim/ Miskin Amal Nur Qaseh, Kamunting. FOTO Zulsyamini Sufian Suri
PENGUNJUNG tertarik dengan persembahan daripada Kanak-kanak dari Asrama Tahfiz Anak Yatim/ Miskin Amal Nur Qaseh, Kamunting. FOTO Zulsyamini Sufian Suri

Pengerusinya, Md Zukry Ahmad berkata, aktiviti berkenaan adalah kesinambungan daripada program Infak Bersama Asnaf Larut Matang dan Selama yang membabitkan 10 penerima daripada keluarga asnaf.

“Sumbangan dalam bentuk barangan dapur yang diberikan melalui program infak itu diperoleh menerusi kutipan daripada orang ramai dengan tujuan meringankan beban penerima daripada kalangan asnaf setempat sempena menyambut Aidiladha.

“Atas persetujuan penyumbang, sebahagian barangan yang disumbangkan khususnya pakaian terpakai dijual semula bagi mendapatkan wang untuk membiayai keperluan asrama tahfiz berkenaan,” katanya.

PSHLMS memiliki tujuh ahli jawatankuasa selain mempunyai 122 pengikut yang dikumpulkan menerusi kumpulan WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:01 AM