ORANG ramai melihat hasil seni Mohd Khairi.
ORANG ramai melihat hasil seni Mohd Khairi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KUALA LUMPUR: Mohd Khairi Mahmood, 36, gemar bermain dengan kepingan besi, tembaga, timah dan sudah menghasilkan lebih 5,500 blok batik sejak 16 tahun lalu.

Minatnya yang mendalam terhadap seni pembuatan blok batik membolehkannya melakukan kerja-kerja menghasilkan blok yang rumit itu dengan mudah.

Disebabkan itu juga, Mohd Khairi sanggup menghabiskan masa lebih lapan jam sehari bagi menghasilkan blok batik berkenaan.

Katanya, dia ‘mengabdikan’ diri dengan aktiviti itu kerana mahu memelihara kesenian pembuatan blok batik secara tradisional yang semakin hilang ditelan zaman.

“Tambahan pula, blok batik kaedah tradisional ini diperkenalkan pada 1920-an dan tentunya ia adalah seni yang sangat berharga.

“Sebagai anak muda, saya bertanggungjawab untuk mempertahankan kesenian ini, lebih-lebih lagi apabila melihat ramai belia hari ini tidak meminatinya (menghasilkan blok batik),” katanya.

Menurutnya, ia antara warisan budaya Melayu yang semakin terpinggir dan perlu dipelihara.

BLOK batik sudah disiapkan.
BLOK batik sudah disiapkan.

Mohd Khairi berkata, dia cenderung membuat blok batik bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan flora tempatan seperti cengkih dan paku pakis bagi menonjolkan identiti serta budaya Melayu.

“Bahagian kerja membuat blok batik paling mencabar ialah semasa membentuk corak daripada kepingan tembaga.

“Ketika itu tumpuan dan ketelitian perlu diberikan sepenuhnya bagi memastikan bentuk corak dihasilkan adalah seragam,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai dua anak didik berusia awal 20-an yang masih mengikuti latihan dengannya sejak tahun lalu.

“Saya mahu menarik lebih ramai anak muda terbabit dengan aktiviti pembuatan blok batik memandangkan kerjanya ini mampu memberi pulangan lumayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:50 AM