Sarah Zulkifli


LELAKI cuba menyamun motosikal Yamaha Y15 milik penghantar makanan Grab Food, di Phileo Damansara, yang video itu tular di media sosial didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas dua tuduhan mencederakan mangsa dan cuba merompak motosikal milik lelaki itu.

Abu Bakar Subianto, 33, yang juga subkontraktor itu mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M Bharat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudin, 22, pada bahagian muka dan badan menggunakan ‘fork lock’ (pengunci kenderaan).

Mengikut pertuduhan kedua, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didapati cuba merompak motosikal Yamaha Y15 milik mangsa.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pintu hadapan Bangunan Phileo Damansara 2, Petaling Jaya, jam 2.53 petang, 9 Ogos lalu.

Pertuduhan pertama ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau mana-mana daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mendekati mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia 12 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mendekati mangsa.

Selain itu, mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh yang tidak membayar jaminan ditahan reman di Penjara Sungai Buloh.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penghantar makanan Grab Food cedera selepas bergelut dengan dua penjenayah yang cuba menyamun Yamaha Y15 berhampiran Phileo Damansara, jam 2.53 petang.

Ketika kejadian, mangsa berusia 22 tahun dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan di Phileo Damansara 2.

Mangsa bergelut dengan dua penjenayah berkenaan sebelum dua suspek terbabit melarikan diri apabila mangsa bertindak melawan.

Sehingga kini polis masih memburu seorang lagi suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

Berita berkaitan

Dakwa suspek esok

Mana kau nak sembunyi?

Seorang dah kena 'kutip'... [METROTV]

Tunggu kena 'kutip' je la...

Demi 'Ysuku'... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 1:31 PM