Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Berstatus orang bankrap sampai hujung nyawa. Itu kisah pilu seorang daripada puluhan ribu rakyat Malaysia yang terbelenggu dengan masalah kebankrapan.

Lelaki warga emas itu dibankrapkan bersama isteri dan dua anaknya selepas syarikat mereka atas namanya digulungkan pada 2005.

Menurut anaknya, Iza, 47, kehidupannya, bapa, ibu serta adiknya tunggang- langgang selepas berstatus orang bankrap.

“Kami menjadi penjamin kepada syarikat ayah. Pada 7 September 2005, kami berempat dibankrapkan selepas syarikat ayah digulungkan akibat kegagalan perniagaan,” katanya ketika menemui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Katanya, ketika hayat bapanya beberapa kali berusaha memohon bebas bankrap namun hajatnya tidak kesampaian.

“Ayah meninggal dunia Mei lalu dengan masih memegang status orang bankrap walaupun sebelum itu dia turun naik pejabat mohon bebas bankrap.

“Lebih malang, ibu juga terpalit dengan masalah ini hingga tidak dapat membuat akaun bank untuk kemasukan wang pencen arwah ayah sebagai pensyarah.

“Sepatutnya pada usia emas, ibu menjalani kehidupan tenang macam rakan seusianya, tetapi kerana isu bankrap ini dia runsing dan hidup penuh sulit,” katanya.

Iza berkata, mereka sudah habis ikhtiar melunaskan hutang termasuk menjual rumah dan kedai yang dimiliki.

“Meskipun sudah menggadai semua harta yang ada, kami masih dibelenggu bankrap.

“Peliknya sampai sekarang kami tidak tahu berapa baki hutang perlu dijelaskan berikutan tidak dibekalkan penyata daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) biarpun diminta berkali-kali,” katanya.

Sementara itu, nasib sama menimpa Zabedah, 49, yang memegang status bankrap sejak Disember 2011 dengan nilai RM26,400 atas pinjaman sewa kenderaan.

“Nama saya digunakan rakan untuk pembelian kereta pada 2007, namun dia tidak membayarnya sampai satu tahap akaun saya dibekukan dan nama saya disenarai hitamkan.

“Selepas berunding dengan pegawai MdI di Kuantan, Pahang kata persetujuan dicapai apabila saya dibenarkan membuat ansuran RM300 sebulan,” katanya.

Berdasarkan anggaran kiraan kasar, dia akui sudah membuat bayaran ansuran sejak Januari 2012 hingga Mei lalu selain bayaran dividen 12.8 peratus serta ASB ditolak melebihi jumlah penyelesaian penuh diluluskan pihak bank.

“Apabila dicongak rupanya saya sudah membuat bayaran lebih RM39,000 sedangkan penyelesaian penuh pinjaman sewa itu yang diluluskan bank berjumlah RM32,500.

“Malah, pada 30 Mei lalu saya sudah membuat bayaran RM6,100 jadi bagaimana pula saya perlu menjelaskan lagi Fi Insolvensi berjumlah RM8,190 untuk membebaskan status bankrap saya?

“Adakah adil buat saya apabila caj dikenakan bukan lagi 12.8 peratus, tetapi sudah jadi 25 peratus?” katanya.

Katanya, sampai sekarang hidupnya tidak tenteram, malah sukar menjalani urusan harian termasuk disekat ke luar negara.

“Saya hidup bagaikan pelarian di negara sendiri. Segala apa manfaat dan hak saya sebagai rakyat Malaysia dinafikan hanya kerana memegang status bankrap.

“Bukan saya tidak mahu jelaskan bayaran, tetapi saya mohon ketelusan MdI, tolong jangan aniaya dan tambahkan lagi beban kami,” katanya.

Selangor paling ramai status orang bankrap

KUALA LUMPUR: Sebanyak 56,058 daripada 95,105 jumlah kes bankrap yang direkodkan sejak 2014 hingga tahun lalu dibebaskan daripada status orang bankrap.

Mereka yang bankrap berkenaan menerima Sijil Pelepasan Melalui Ketua Pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A.

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), merekodkan Selangor menduduki tangga teratas negeri paling banyak kes bankrap iaitu 24,648 kes sepanjang tempoh empat tahun diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11,774) serta Johor (10,796).

Berdasarkan umur pula, mereka yang berusia 35 hingga 44 tahun paling banyak bankrap iaitu 32,948 orang diikuti 24,584 orang berusia 45 hingga 54 tahun, manakala 25 hingga 34 tahun pula adalah seramai 23,577.

Data itu juga menunjukkan punca kebankrapan paling tinggi adalah 26,399 pinjaman peribadi, 23,521 sewa beli kenderaan diikuti pinjaman perumahan 13,400 dan 9,428 hutang kad kredit.

MdI dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengadakan kempen kesedaran dan khidmat kaunseling bagi membantu masyarakat berbelanja secara berhemah dan bijak dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan muflis.

“Jabatan ini memperkasakan pendidikan kepenggunaan dan pengurusan kewangan di peringkat komuniti dan masyarakat setempat selain pendidikan dan kempen kesedaran terutama tentang implikasi kebankrapan kepada golongan belia dan pelajar institusi pengajian tinggi supaya masalah ini dapat ditangani di peringkat awal.

“Selain itu, jabatan ini juga meluaskan jaringan kerjasama dengan badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan melalui Consultative Meeting, Outreach Programme, Rakan Strategik MdI, jelajah dan klinik kesedaran orang awam.

“Pendekatan MdI Prihatin juga dilaksanakan bagi membantu orang awam khususnya golongan muda meningkatkan kesedaran berhubung keberhutangan serius dan kesan daripada perintah kebankrapan,” katanya.

Kata kenyataan itu, masyarakat terutama golongan muda sekiranya menghadapi masalah dan kesulitan dalam perancangan kewangan dinasihatkan merujuk pihak kewangan bertauliah.

“Jabatan menasihatkan mereka merujuk kaunselor serta pengurus kewangan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau mekanisme penyelesaian berhubung kemelut penstrukturan semula kewangan.

“Jabatan ini juga menasihatkan golongan muda pada masa kini tidak terpengaruh dengan trend atau gaya hidup mewah hingga mengabaikan keperluan utama.

“Kegagalan menjelaskan hutang melebihi had tuntutan RM50,000 kepada pihak bank, mana-mana syarikat atau individu mendedahkan individu itu dengan tindakan prosiding untuk petisyen perintah kebankrapan di mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 6:00 AM